BATU KAWAN : Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjaya merekodkan kutipan sebanyak RM21,684,455 hasil bidaan terhadap Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) siri P_P hanya dalam tempoh lima hari sejak ia dibuka kepada umum Isnin lalu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, lima bidaan tertinggi ialah P1P sebanyak RM1,100,00 juta, diikuti oleh P9P (RM1,000,777); P8P (RM613,000); P6P (RM600,777) dan P2P sebanyak RM512,000.
“Jumlah penyertaan keseluruhan pembida siri ‘P_P’ ini adalah seramai 19,370 orang dan sebanyak 5,973 nombor pendaftaran telah berjaya memenangi (sehingga semalam).
“Tiada nombor pendaftaran yang disekat untuk siri ini dan baki 4,026 nombor pendaftaran boleh ditawarkan kepada orang awam selepas bidaan ini ditutup,” katanya ketika berucap sempena majlis sambutan Ulang Tahun Hari JPJ ke-80 dan Karnival Mega JPJ Madani di pekarangan Stadium Batu Kawan di sini.
Majlis dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tambah beliau, lima nombor yang paling banyak dibida pula ialah P1177P dengan 26 pembida, P313P dan P22P; masing-masing sebanyak 24 pembida serta nombor P411P dan P888P; kedua-duanya merekodkan jumlah yang sama iaitu masing-masing seramai 22 pembida.
Dalam pada itu, Anthony berkata, tidak kisah sekiranya terus diketawakan oleh netizen kerana menjual nombor pendaftaran kenderaan sehingga digelar Menteri Nombor Plat.
“Kalau betul saya nak perkayakan diri saya, baik saya ‘block’ (sekat) siap-siap nombor plat P1P kerana saya ‘entitle’ (berhak) untuk buat macam tu. Kemudian, saya boleh jual balik pada harga yang lebih tinggi.
“Tetapi, semua nombor itu ditender. Tak ada satu pun yang diberikan secara percuma,” katanya yang memberitahu, semua hasil yang diperoleh daripada penjualan nombor pendaftaran itu menjadi hasil kerajaan dan dipulanglan semula.kepada rakyat dalam pelbagai bentuk. – UTUSAN










