KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NexG Bhd, Datuk Abu Hanifah Noordin perlu mengambil tanggungjawab untuk tampil memberikan penjelasan berhubung perbelanjaan RM303.7 juta antara November 2024 hingga September 2025, iaitu ketika Victor Chin Boon Long menjadi Ketua Pegawai Operasi (COO) syarikat tersebut.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, selaku kepimpinan tertinggi syarikat itu, beliau wajib tampil memberikan penjelasan yang telus, menyeluruh dan berfakta.
Katanya, ketiadaan Victor Chin tidak boleh dan tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menangguhkan penjelasan kepada umum, khususnya kepada para pemegang saham dan pelabur.
“Prinsip akauntabiliti korporat adalah jelas, tanggungjawab tidak terhenti pada individu yang disiasat sahaja, tetapi merangkumi keseluruhan struktur kepimpinan syarikat.
“Sebarang perbelanjaan berskala besar yang menimbulkan persoalan awam mesti dijelaskan secara profesional, termasuk butiran penggunaan dana, proses kelulusan, kawalan dalaman serta pihak yang terlibat dalam membuat keputusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jais berkata, pihaknya memandang serius perkembangan terkini itu yang menyaksikan Victor Chin dikatakan telah meninggalkan negara ketika siasatan sedang berjalan.
Sekiranya perkara ini benar, kata beliau, ia menimbulkan persoalan besar terhadap tahap pematuhan undang-undang, kawalan dalaman syarikat serta keberkesanan mekanisme pemantauan pihak berkuasa.
“Isu NexG kini bukan lagi isu dalaman syarikat atau pertikaian korporat biasa. Ia telah berkembang menjadi isu nasional yang memberi kesan kepada keyakinan pelabur, reputasi pasaran modal Malaysia, serta persepsi terhadap integriti tadbir urus korporat negara.
“Ketiadaan individu tertentu tidak boleh menafikan hak pemegang saham untuk mengetahui kebenaran. Kegagalan memberi penjelasan hanya akan menambah spekulasi dan menjejaskan keyakinan pasaran,” katanya.
Pada masa sama, kata beliau, semua keputusan kewangan besar dalam syarikat tersenarai melibatkan pelbagai lapisan kelulusan, justeru, tanggungjawab tidak boleh dipusatkan kepada satu individu sahaja.
Jelasnya, keadilan kepada pelabur, termasuk pelabur runcit dan institusi, adalah asas kepada kestabilan pasaran modal dan mereka berhak mendapat penjelasan yang jelas dan telus.
“MCW menggesa agar Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperkukuh kerjasama dalam menyiasat keseluruhan rantaian transaksi dan tadbir urus syarikat.
“Sekiranya terdapat sebarang cubaan untuk melindungi mana-mana pihak melalui struktur korporat atau kelemahan tadbir urus, tindakan tegas mesti diambil,” katanya. – UTUSAN










