PETALING JAYA: Penyanyi, Adira Suhaimi, tidak menafikan jejaka misteri yang dikongsikannya sebelum ini merupakan individu istimewa dalam hatinya.
Adira atau Siti Adira Suhaimi, 35, bagaimanapun belum mahu bercerita lanjut mengenai identiti jejaka itu namun berharap agar peminat mendoakan yang terbaik buatnya.
“Boleh dikatakan istimewa, sebab saya pun jarang kongsi mana-mana lelaki. Jadi saya minta doakan yang terbaik,” katanya.
Adira ditemui di sidang media program Talk To My Manager musim kedua, di sini pasa Jumaat.
Tambahnya lagi, buat masa ini, Adira lebih selesa untuk tidak berkongsi lanjut mengenai hubungan peribadinya, cukuplah sekadar apa yang dipaparkan di media sosialz
“Setakat ini apa yang boleh saya kongsikan adalah apa yang saya kongsi di media sosial sahaja. Itu saja.
“Saya kekal dengan cara itu dan mengharapkan doa yang baik-baik daripada semua. Insya-Allah,” ujarnya.
Lebih membahagiakan apabila kehadiran jejala itu juga disenangi orang anak-anak Adira.
“Alhamdulillah setakat ini anak-anak saya sangat selesa. Saya tak boleh kongsi lebih banyak kerana perlu menghormati keluarga,” katanya.
Dalam pada itu, Adira turut menafikan dakwaan segelintir pihak kononnya menganggap perkongsiannya sebelum ini hanya gimik semata-mata.
“Saya tak buat gimik. Apa yang saya kongsi di media sosial adalah perkara yang saya suka, tiada paksaan.
“Maknanya apa yang ada di media sosial saya itu adalah apa yang saya suka dan bahagia,” jelasnya.
Terdahulu, Adira mencuri perhatian apabila berkongsi foto dengan seorang jejaka berambut panjang yang tidak didedahkan identitinya. -UTUSAN










