SELESAI sahaja memuliakan bulan Ramadan dan kini menyambut Hari Raya Aidilfitri, sebilangan daripada kita menjalani kehidupan seperti biasa, iaitu ada yang tidak lagi bersungguh-sungguh dalam menunaikan ibadah termasuk melupai berpuasa sunat enam hari di bulan Syawal.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Imam 1 Masjid Sultan Ahmad Shah Bandar Tun Abdul Razak Jengka, Maran, Mohd. Fikri Hamzah berkata, dengan kehadiran Syawal adalah lebih baik kita terus berusaha menunaikan satu ibadah sunat istimewa yang hanya dilakukan pada Syawal sahaja, iaitu berpuasa sunat enam hari.
“Bulan Ramadan sudahpun berlalu dan kita mengharapkan supaya Allah SWT menerima seluruh amalan yang kita lakukan. Sepatutnya amalan baik berkenaan yang sebelum ini kita jarang lakukan diteruskan juga walaupun bukan di bulan Ramadan.
“Sebagai seorang Muslim kita wajar istiqamah melakukan semua amal ibadat sehingga ke akhir hayat.
“Bulan Ramadan yang berlalu boleh dijadikan sebagai detik permulaan bagi kita untuk menguatkan amal ibadat berbanding sebelum ini yang mungkin kita banyak mengabaikan atau lupa atas sebab lebih menumpukan urusan keduniaan,” katanya.
Justeru, katanya, dalam kesibukan kita berhari raya dan mencari rezeki di bulan Syawal, janganlah pula kita lupa untuk melakukan puasa enam itu kerana ia adalah amalan yang memperoleh ganjaran amat besar.
MOHD. FIKRI HAMZAH
Tempat Lahir: Jerantut
Tarikh Lahir: 13 Oktober 1987
Kampung Asal: Kampung Batu Bor, Chenor
Pendidikan:
* Sekolah Kebangsaan Batu Bor (1994-1999)
Maahad Tahfiz Ummul Qura Pondok Kolam ( 2000-2002)
Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri Terengganu (2003-2006)
Universiti Al-Azhar,Kaherah, Mesir – Pengajian Islam Dan Bahasa Arab,Kepujian (2006-2011).
*Maahad Darul Mustafa,Tarim, Hadhramaut, Yaman (2012-2013)
Tugas dan kegiatan :
Timbalan Qadi Jengka, Maran
Imam 1 Masjid Sultan Ahmad Shah Bandar Tun Abdul Razak Jengka, Maran
Setiausaha Pertubuhan Ittihad An-nur Cawangan Pahang.
Kata beliau, hal ini ditegaskan menerusi Rasulullah SAW dalam hadis riwayat Muslim yang bermaksud: “Sesiapa berpuasa Ramadan, kemudian diikuti dengan enam hari puasa di bulan Syawal, maka itu adalah seperti puasa sepanjang tahun.”
Imam Nawawi pula berkata: “Setiap amalan digandakan sepuluh pahala, oleh itu puasa Ramadan sama dengan sepuluh bulan dan puasa enam hari Syawal sama dengan dua bulan maka genaplah satu tahun.
Mohd Fikri menambah, janganlah berasa tertekan untuk melakukanya kerana puasa itu boleh dilakukan secara berasingan walaupun adalah lebih afdal dilaksanakan secara berturut-turut.
“Malahan juga diharuskan untuk melakukan puasa sunat enam Syawal digabung dengan puasa qada Ramadan. Yang pentingnya, kita dapat melaksanakan ibadat puasa sunat Syawal ini tidak kira pada awal bulan, pertengahan atau di akhir Syawal,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd. Fikri berkata, puasa sunat enam syawal ini juga dapat menampung kekurangan yang berlaku dalam puasa Ramadan sebagaimana solat sunat yang menampung kekurangan bagi ibadah solat wajib kita.
“Kelebihan berpuasa enam juga dapat menunjukkan rasa kesyukuran kita kepada Allah SWT atas segala nikmat keberkatan, keampunan dan kerahmatan di bulan Ramadan.
“Amalan ini mempunyai kelebihan apabila kita semakin dicintai Allah dan mendapat perlindungan-Nya sebagaimana hadis Qudsi riwayat Imam al-Bukhari, Allah berfirman bermaksud: “Dan sentiasalah hamba-Ku mendekatkan dirinya kepada-Ku dengan amalan sunat hingga Aku mencintainya”.
Justeru Mohd. Fikri meminta, agar umat Islam istiqamah selepas bulan Ramadan serta menyambut kedatangan Syawal dengan meneruskan amalan wajib dan sunat serta mengekalkan imarahkan masjid supaya rumah Allah itu tidak sunyi.
“Janganlah dibiarkan masjid itu kembali sunyi dan hanya dipenuhi ketika bulan Ramadan untuk solat sunat Tarawih,” tambahnya.
Katanya, Muslimin dan Muslimat sewajarnya terus mendekatkan diri dengan al-Quran dan solat sunat malam walaupun sesibuk mana sekalipun serta di mana keberadaan kita janganlah lupakannya kerana ia amat besar fadilat serta ganjaran Allah SWT.
Tambahnya, bulan Syawal adalah landasan untuk umat Islam menguatkan platform ukhuwah seperti menziarahi saudara mara, rakan taulan, membantu orang susah dan golongan memerlukan, anak yatim dan jiran tetangga.-UTUSAN










