MELAKA: Status halal sebuah kilang memproses kopi dan biskut di negeri ini terbatal serta-merta selepas pemeriksaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menemui penggunaan berus yang disahkan mengandungi bulu babi dalam proses pembersihan peralatan.
Pengarah JAIM, Datuk Md. Azhan Samat berkata, perkara itu dikesan hasil pemeriksaan oleh Bahagian Pengurusan Halal jabatan berkenaan pada Januari lalu.
Menurutnya, berus terbabit telah disita sebelum dihantar ke Pusat Analisis Halal Malaysia (MyHAC) di Bandar Enstek, Nilai untuk analisis lanjut.
“Keputusan analisis yang diterima pada bulan lalu mengesahkan berus itu mempunyai ciri fizikal bulu babi.
“Susulan itu, Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) milik kilang berkenaan ditarik serta-merta,” katanya di sini.
Menurut beliau, kilang berkenaan telah beroperasi lebih sedekad dan sebelum ini memiliki sijil halal sah yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Md Azhan berkata, alasan ketidaktahuan yang diberikan pihak premis tidak boleh dijadikan justifikasi terhadap pelanggaran piawaian halal.
“Pemegang sijil halal perlu memastikan pematuhan penuh terhadap keperluan dan piawaian halal yang ditetapkan tanpa kompromi dalam setiap aspek operasi,” katanya.
Beliau menegaskan Jabatan Agama Islam Melaka akan terus memperhebat pemantauan terhadap premis pemegang sijil halal bagi memastikan keyakinan pengguna terhadap status halal produk di pasaran sentiasa terpelihara. – UTUSAN










