Inspace Creation, TA Securities meterai taja jamin Pasaran ACE

Inspace Creation, TA Securities meterai taja jamin Pasaran ACE

WONG Chong Siong (tiga dari kiri) semasa Majlis Menandatangani Perjanjian Taja Jamin dengan TA Securities Holdings Berhad.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Inspace Creation Berhad (Inspace Creation) menandatangani perjanjian taja jamin dengan TA Securities Holdings Berhad (TA Securities) sejumlah 26.97 juta saham baharu untuk penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities).

IPO Inspace Creation terdiri daripada terbitan 68.50 juta saham biasa baharu, mewakili kira-kira 18.55 peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 369.30 juta saham biasa.

Ini akan disertai dengan tawaran jualan 29.30 juta saham sedia ada, mewakili kira-kira 7.93 peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan.

Pengarah Eksekutif Inspace Creation Berhad, Wong Chong Siong berkata, perjanjian taja jamin itu merupakan satu lagi peristiwa penting dalam perjalanan Inspace Creation ke arah menjadi syarikat tersenarai.

“IPO kami akan menyediakan sumber kewangan yang diperlukan untuk mengukuhkan kedudukan kami dan membolehkan kami menjalankan lebih banyak projek atau projek bernilai lebih tinggi.

“Langkah strategik ini menyokong pengembangan kami ke segmen komersial baharu dan pasaran serantau di luar Lembah Klang,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, dengan rekod prestasi operasi lebih lapan tahun dalam industri pemasangan dalaman, Inspace Creation telah mengukuhkan kedudukannya sebagai penyedia penyelesaian komprehensif yang dipercayai untuk hartanah pejabat komersial.

Kepakaran kumpulan merangkumi keseluruhan kitaran hayat projek, termasuk perancangan dan pengurusan projek, konseptualisasi reka bentuk dan pembinaan, serta penyelenggaraan pasca siap.

Sehingga 28 Julai 2025, Inspace Creation mempunyai buku pesanan tertunggak belum dibil sebanyak RM21.22 juta daripada perkhidmatan pemasangan dalaman.

Prospek industri pemasangan dalaman di Malaysia kekal positif dan menyokong pertumbuhan syarikat itu.

Ia dengan nilai kerja penyiapan dan kemasan bangunan dijangka meningkat daripada RM2 bilion pada 2024 kepada RM2.7 bilion pada 2027, mewakili kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 10.5 peratus.

Pertumbuhan itu didorong oleh permintaan berterusan terhadap ruang kerja yang lebih cekap, peningkatan urus niaga hartanah komersial, serta pelaburan asing dan domestik yang berterusan dalam sektor perkhidmatan Malaysia.

TA Securities Holdings Berhad ialah Penasihat Utama, Penaja, Ejen Penempatan Tunggal dan Penaja Jamin Tunggal untuk IPO tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN