KUALA LUMPUR: Penyanyi era 80-an, Datuk ND Lala menjelaskan, sebagai bapa, beliau sentiasa menyayangi anak-anaknya yang kekal menjadi darah dagingnya.
Pemilik nama penuh Amir Amzah Salleh, 61, berkata malah doa untuk anak-anak tidak pernah putus kerana mereka tetap sebahagian hidupnya .
“Anak-anak adalah DNA saya. Keadaan itu tidak berubah, ia kekal begitu selamanya.Mereka lahir daripada kasih sayang ibu bapa. Mereka sebahagian hidup orang tua.
“Ibu bapa tetap menyayangi, mengharapkan, mendoakan anak mereka tanpa syarat dan batas pemisah,” katanya yang ditemui semasa Majlis Pelancaran Buku Sentuhan Emas Lagu-Lagu Tan Sri Ahmad Nawab di Saloma Kuala Lumpur.
Penyanyi yang popular dengan lagu Mat Tahir, Mata Air itu bagaimanapu menegaskan beliau tetap dengan pendiriannya untuk tidak mengulas panjang mengenai isu peribadi.
“Saya tidak selesa berkongsi tentang kisah peribadi, sebaliknya lebih gemar bercakap tentang kerjaya.
“Pada masa sama saya tidak terikat untuk menjawab soalan yang diajukan kepada saya, tetapi saya tetap hormati tugas media dalam mendapatkan berita.
“Namun saya tetap dengan keputusan untuk tidak mengulas mengenai hal peribadi supaya tiada pihak terguris hati.
“Bahkan komen mengenai anak-anak sudah saya berikan sebelum ini menerusi kenyataan rasmi yang saya kongsikan dalam media sosial. Terpulang kepada masyarakat untuk membuat tafsiran,” katanya lagi.
ND Lala berkahwin dengan Fauziah Sarman pada 1989, bagaimanapun mereka bercerai pada 2023. Mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu penyanyi Shila Amzah, Amir Syafiq, Amir Syahir dan Syada.
ND Lala kini bahagia di sisi isteri, Siti Munirah Abdul Ghani manakala Fauziah pula bertemu jodoh dengan Brigadier Jeneral Zainal Abidin Muhammad Saleh. – UTUSAN










