IPOH: Program Agrobank Upward Migration (AUM) terus memperlihatkan impak positif apabila sebanyak 27 syarikat di Perak mencatat peningkatan hasil jualan dengan jumlah keseluruhan mencecah RM6.05 juta bagi tahun 2025.
Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, jumlah jualan terkumpul itu menunjukkan peningkatan sebanyak 42.21 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Pencapaian prestasi jualan ini mencerminkan keberkesanan pelaksanaan program AUM dalam meningkatkan daya saing dan memperkukuh kapasiti perniagaan usahawan tempatan.
“Selain itu, program ini turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi setempat apabila 11 syarikat berjaya mengembangkan operasi serta mewujudkan peluang pekerjaan baharu kepada komuniti,” katanya sempena Majlis Aspirasi Kecemerlangan AUM Perak, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Pembangunan Agrobank, Ahmad Ariff Abu Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), Mohd. Azhar Mohd Yusof.
Majlis berkenaan dianjurkan bagi meraikan kejayaan usahawan tempatan di bawah AUM yang dikendalikan oleh Agrobank Centre of Excellence (ACE), khusus bagi memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor keterjaminan makanan.
Mengulas lanjut beliau berkata, program AUM di Perak melibatkan seramai 41 usahawan yang diraikan atas pencapaian cemerlang sepanjang tempoh program.
Menurut beliau, lima syarikat turut diiktiraf kerana mencatat pencapaian terbaik dalam pelbagai kategori antaranya peningkatan jualan, pengembangan perniagaan, penciptaan pekerjaan, penambahan kapasiti (teknologi) dan penambahan kapasiti (pembiayaan).
“Majlis Aspirasi Kecemerlangan kali ini menjadi platform untuk meraikan pencapaian usahawan di Perak yang telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan.
“Melalui bimbingan berstruktur dan sokongan berterusan Agrobank, seramai enam syarikat berjaya memperoleh pembiayaan tambahan berjumlah RM319,000 menerusi program AUM,” katanya.
Tambah Tengku Ahmad Badli Shah, seramai 10 peserta telah berjaya mengikuti program tersebut menerusi beberapa siri latihan serta sesi bimbingan yang komprehensif.
“Hasil daripada bimbingan tersebut, para usahawan telah menunjukkan peningkatan prestasi yang memberangsangkan, dengan jualan terkumpul perniagaan sebanyak 211 peratus bersamaan RM1.6 juta, berbanding sebelum menyertai program ini,” katanya.
Pada program tersebut, Kak Leena Kitchen Enterprise menerima Anugerah Peningkatan Jualan manakala Gazebo Abg Nash pula merangkul Anugerah Pengembangan Perniagaan.
Selain itu, Anugerah Penciptaan Pekerjaan disampaikan kepada Sinar Myna Enterprise, diikuti Wajba Agro & Retreat Sdn. Bhd. yang menerima Anugerah Penambahan Kapasiti (Teknologi) serta Arrayyan Niaga bagi Anugerah Penambahan Kapasiti (Pembiayaan).
Sementara itu, pengasas Kak Leena Kitchen Enterprise, Roslina Omar, 38, berkata, bimbingan dan sokongan yang diperoleh melalui program AUM berjaya melonjakkan jualan perniagaannya melebihi 50 peratus.
Katanya, penglibatan dalam program tersebut bermula pada tahun 2025 apabila dia mencuba nasib untuk mengembangkan perniagaan bersama Agrobank.
“Sebelum ini, jualan agak sederhana, namun selepas menyertai AUM, saya diberi peluang menyertai pelbagai program dan acara yang banyak membantu meningkatkan jualan.
“Selain itu, pendedahan kepada strategi pemasaran termasuk penggunaan media sosial secara lebih agresif turut menjadi faktor penting kepada peningkatan tersebut,” katanya.
Tambahnya, hasil usaha berterusan itu membolehkan perniagaannya mencatatkan jualan mencecah RM553,000, sekali gus membuktikan keberkesanan program berkenaan dalam membantu usahawan memperkembangkan perniagaan. – UTUSAN










