KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengesahkan menerima permohonan daripada beberapa parti politik yang berminat untuk menyertai gabungan terbabit, sekali gus mencerminkan landskap politik negeri yang terus dinamik.
Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, perkembangan tersebut menunjukkan GRS kekal relevan dan menjadi pilihan dalam kalangan parti politik di Sabah.
“Saya fikir orang akan datang dan pergi tetapi buat masa ini sudah ada permohonan baharu daripada parti politik yang lain.
“Namun, biarlah Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan perkara itu pada masa yang sesuai,” katanya ditemui pemberita selepas menghadiri Malam Gala anjuran Dewan Perniagaan Malaysia–China (MCCC) Cawangan Sabah bertempat di Hotel Marriott, di sini, semalam.
Dalam pada itu, Masidi berkata, keputusan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) keluar daripada GRS merupakan realiti politik yang dinamik dan sentiasa berubah.
“Kadang-kadang, kita tidak dapat mengharapkan apa yang akan berlaku pada hari esok. Itulah apa yang diperlukan oleh politik.
“Walaupun kita berharap mereka kekal (bersama GRS) tetapi kami menghormati keputusan mereka untuk keluar dari GRS dan saya ucapkan selamat maju jaya kepada mereka.
“Tetapi saya gembira untuk mengatakan bahawa kami berpisah sebagai kawan, bukan sebagai musuh .. itu yang paling penting,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Presiden USNO, Tan Sri Pandikar Amin Mulia disahkan meletakkan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan semua jawatan berkaitan kerajaan.-UTUSAN










