Gold Li sasar kumpul RM15.21 juta menerusi IPO di Pasaran ACE - Utusan Malaysia

Gold Li sasar kumpul RM15.21 juta menerusi IPO di Pasaran ACE

Datuk Lee Tiau Huat (dua dari kiri) bersama Datin Lau Siew Su (pertama dari kiri) dan pengurusan tertinggi pada majlis pelancaran prospektus Gold Li di Le Meridien, Kuala Lumpur semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah terkemuka yang berpangkalan di Johor, Gold Li Holdings Berhad (Gold Li) menyasarkan kutipan dana kasar sebanyak RM15.21 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

Penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Malaysia itu menandakan peristiwa paling penting dalam sejarah 27 tahun penubuhan entiti berkenaan.

Nilai permodalan pasaran syarikat dianggarkan mencecah RM78 juta selepas penyenaraian pada 18 Mei ini dan tawaran jualan sebanyak 36 juta saham sedia ada mewakili 6.0 peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesar.

Menerusi terbitan awam sebanyak sebanyak 117 juta saham biasa baharu pada harga 13 sen sesaham, jumlah itu mewakili 19.5 peratus daripada modal saham terbitan kumpulan yang diperbesar iaitu sebanyak 600 juta saham.

Pengarah Urusan Gold Li, Datuk Lee Tiau Huat berkata, kumpulan memperuntukkan sebanyak RM11.21 juta sebagai modal kerja bagi menambah kos pembangunan hartanah untuk projek semasa dan akan datang.

Menurutnya, kumpulan telah berjaya menyiapkan sebanyak 110 projek setakat 31 Mac 2026 sejak bermula dengan hanya 20 unit pada 2001.

“Kami bukan sahaja mampu mengumpul dana untuk membiayai projek Taman Permatang Pasir II, Taman Kesang Mewar, Taman Naib Kadir Suria dan Lot 3797 di Mukim Linau, malah dapat menaikkan profil korporat kami.

”Kedudukan korporat yang lebih kukuh kelak akan membantu syarikat menarik bakat dan rakan kongsi terbaik bagi usaha niaga projek kediaman serta bangunan tinggi pada masa hadapan,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran prospektus itu di sini, semalam.

Beliau turut optimis terhadap kekurangan penawaran kediaman berstrata di Muar, Johor memandangkan projek pangsapuri terakhir yang dibina di kawasan berkenaan adalah pada lebih 10 tahun yang lalu.

“Tidak seperti kemelut lambakan lebihan bekalan bangunan tinggi yang membelenggu pasaran di Johor Bahru, sektor perumahan di Muar, Batu Pahat dan Tangkak masih amat sihat berikutan tumpuan pasaran selama ini yang lebih menjurus kepada pembinaan rumah bertanah yang sejajar dengan permintaan serta kemampuan masyarakat setempat.

“Lonjakan permintaan perumahan di zon Muar dijangka terus rancak disokong oleh limpahan pemangkin ekonomi tempatan seperti pembangunan Hab Tenaga Maharani,” katanya.

Hasil daripada tawaran jualan akan disalurkan sepenuhnya kepada pemegang-pemegang saham yang menjual iaitu Datuk Lee Tiau Huat dan Datin Lau Siew Su.

Pegangan saham gabungan mereka akan dicairkan kepada 73.3 peratus yang sebahagian besarnya dipegang melalui entiti pelaburan mereka, Setia Mega Sdn. Bhd. yang akan mengekalkan 66.3 peratus pegangan.

Permohonan untuk IPO itu dibuka sehingga 5 Mei 2026. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×