PETALING JAYA: Empat daripada 12 lukisan bernilai tinggi hasil karya pelukis tersohor dunia yang dikaitkan dengan 1MDB scandal, dianggarkan bernilai lebih RM140 juta (AS$30 juta) kini berada di Hong Kong.
Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata. lukisan berkenaan telah melalui beberapa negara sebelum tiba di lokasi tersebut.
Katanya, karya seni itu masih belum dibawa pulang ke Malaysia kerana perlu melalui beberapa proses transit antarabangsa.
“Lukisan berkenaan masih belum sampai di negara ini. Ia perlu transit ke beberapa negara sebelum tiba,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pada 5 April lalu, Utusan Malaysia melaporkan waktu sebenar ketibaan empat daripada 12 lukisan itu tidak dapat didedahkan secara terperinci atas faktor keselamatan.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, langkah itu diambil bagi memastikan keselamatan karya seni berkenaan terjamin memandangkan ia mempunyai nilai tinggi serta menjadi sebahagian daripada aset berkaitan siasatan.
“Buat masa ini, butiran terperinci termasuk waktu ketibaan tidak boleh didedahkan bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pada 13 Disember 2025, usaha pemulihan aset 1MDB terus diperkukuh apabila Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (USDOJ) bersetuju untuk mengembalikan koleksi lukisan bernilai lebih AS$30 juta kepada Malaysia.
Perkara itu dipersetujui hasil dua siri perbincangan rasmi SPRM bersama Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan USDOJ yang berlangsung di Washington dan New York pada 9 dan 11 Disember 2025.
Antara perkara-perkara utama yang dibincangkan adalah berkaitan pemulihan aset 1MDB melibatkan usaha mengembalikan lukisan bernilai tinggi yang telah dibeli Jasmine Loo dan kini berada di bawah kawalan USDOJ.
Dianggarkan 12 lukisan milik Jasmine Loo yang dipegang oleh firma Christie’s dan Sotheby’s Auction House, Amerika Syarikat (AS) antaranya Pablo Picaso (1961), L’Ecuyere et les clowns; Joan Miró,(1953) Composition; William H Bailey (b.1930), Still Life.
Selain lukisan Alexander Calder (1898-1976), Studies for Sculpture; dan Henri Matisse (1869-1954), Femme Assise yang kesemuanya bernilai melebihi AS$30 juta.-UTUSAN










