KULAI: Empat lelaki tempatan ditahan polis selepas dipercayai pecah masuk pejabat guru di sebuah sekolah di Taman Putri, di sini dalam tiga serbuan berasingan pada Rabu dan Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang guru berkenaan kejadian itu pada pukul 10.33 pagi, 18 April lalu.
Katanya, guru terbabit menyedari kejadian itu pukul 7.20 pagi apabila mendapati grill pagar dan bilik pejabat rosak manakala meja guru dalam keadaaan berselerak dan mengalami kerugian dianggarkan bernilai RM200.
“Bertindak daripada maklumat, pasukan Cawangan Perisikan dan Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai melakukan tiga serbuan secara berasingan di Kulai, Seri Alam dan Johor Bahru pada 22 dan 23 April lalu.
“Hasil serbuan itu, empat lelaki berusia 20 hingga 40 tahun berjaya ditahan,” katanya dalam kenyataan.
Seng Lee berkata, semakan mendapati tiga suspek yang ditahan mempunyai 19 hingga 24 rekod lampau berkaitan pelbagai kesalahan jenayah dan narkotik.
Menurutnya, hasil saringan ujian air kencing mendapati semua empat tahanan positif dadah jenis Methamphetamin.
“Kesemua suspek kini ditahan reman selama empat hari sehingga esok bagi membantu siasatan.
“Kejayaan tangkapan empat suspek ini, kita percaya sudah berjaya menyelesaikan empat kes pecah masuk pejabat sekolah serta kes kecurian kabel di daerah ini,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 451 Kanun Keseksaan. – UTUSAN











