IPOH: Paras air di beberapa empangan utama di negeri ini mencatat penurunan berikutan cuaca panas namun belum mencapai paras bahaya.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Negeri Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, paras air empangan di negeri ini kini berada pada Tahap Kritikal Satu namun belum mencapai tahap membimbangkan.
“Walaupun berdepan musim kemarau, paras air empangan di Perak masih berada pada tahap terkawal dan belum mencapai paras bahaya.
“Setakat ini, kita masih mempunyai margin keselamatan kira-kira satu meter sebelum mencapai paras kritikal, namun pemantauan perlu dilakukan secara berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena majlis Hari Aidilfitri anjuran beliau di sini hari ini.
Menurut beliau, empangan utama termasuk Temenggor, Kenering, Bersia dan Chenderoh memainkan peranan penting dalam memastikan kelangsungan bekalan air bagi kegunaan domestik, pertanian serta penjanaan tenaga hidro.
Katanya, ketika ini paras Empangan Temenggor berada sekitar 239 meter atau kira-kira 34 peratus kapasiti, iaitu masih melebihi paras minimum 238 meter yang dianggap kritikal.
“Jika paras air turun lebih satu meter daripada kedudukan semasa, kita akan anggap itu sebagai tanda bahaya dan tindakan segera akan diambil,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri telah mengambil beberapa langkah mitigasi termasuk menangguhkan jadual penanaman padi selama dua minggu bagi mengurangkan penggunaan air dalam tempoh kritikal.
“Kita telah berbincang dengan pihak IADA dan mereka bersetuju untuk melewatkan penanaman padi bagi mengurangkan penggunaan air.
“Jika keadaan berlarutan, kita juga akan mempertimbangkan operasi pembenihan awan yang dijangka dilaksanakan sekitar pertengahan April,” katanya. – UTUSAN










