Ekuinas labur dalam Ain Medicare melalui Dana Tranche IV RM1 bilion - Utusan Malaysia

Ekuinas labur dalam Ain Medicare melalui Dana Tranche IV RM1 bilion

ALIFF Omar Mohamad Omar (dua dari kiri) bersama pengurusan tertinggi Ekuinas dan Ain Medicare sempena majlis pelaburan strategik baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) membuat pelaburan strategik melalui pegangan minoriti dalam Ain Medicare Sdn. Bhd. (Ain Medicare), pengeluar produk farmaseutikal parenteral steril milik bumiputera yang terkemuka.

Pelaburan yang dibuat melalui Dana Tranche IV Ekuinas berjumlah RM1 bilion itu bertujuan memacu pertumbuhan syarikat tersebut, sekali gus memperkukuh pemilikan ekuiti bumiputera di bawah agenda nasional GEAR-uP melalui strategi Bumiputera Relay Race.

Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Aliff Omar Mohamad Omar berkata, subsektor farmaseutikal merupakan industri nilai tinggi yang kritikal bagi daya tahan negara, dengan unjuran pertumbuhan sekitar 6.4 peratus setahun mencecah RM15 bilion menjelang 2030.

“Ain Medicare telah menempa nama sebagai pengeluar tempatan yang mempunyai rekod prestasi terbukti selama 30 tahun, asas pelanggan yang pelbagai serta saluran Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) yang kukuh,” katanya dalam kenyataan. 

Sementara itu, Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif Ekuinas, Datuk Rick Ramli berkata, pelaburan ini adalah contoh jelas pelaksanaan Bumiputera Relay Race yang kedua selepas Orkim Berhad.

Ain Medicare sebelum ini disokong oleh VentureTECH dari tahun 2017 hingga 2025 bagi meningkatkan kapasiti pembuatan sebelum melangkah ke fasa seterusnya bersama Ekuinas.

Diasaskan pada 1993 dan beribu pejabat di Kota Bharu, Kelantan, Ain Medicare mengendalikan tujuh kemudahan pembuatan di Kota Bharu dan Kulim. 

Portfolio produknya merangkumi larutan intravena, bahan suntikan isi padu kecil, serta pekatan hemodialisis yang dieksport ke 17 pasaran antarabangsa termasuk Timur Tengah dan Eropah.

Pengerusi Ain Medicare, Datuk Wan Ariff Wan Hamzah berkata, kerjasama dengan Ekuinas menandakan pencapaian penting bagi syarikat untuk mempercepatkan pelan pertumbuhan strategik.

“Kami memberi tumpuan terhadap produk generik khusus dan produk suntikan lanjutan untuk memanfaatkan segmen Bahan Suntikan Isi Padu Rendah, di samping memperluas jejak antarabangsa kami,” katanya.

Ain Medicare kini merupakan antara majikan swasta terbesar di Kelantan dengan tenaga kerja hampir 1,400 orang yang majoritinya terdiri daripada Bumiputera, selain menyokong lebih 100 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan melalui inisiatif pembangunan vendornya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN