BUKIT MERTAJAM: Kejayaan pelajar dalam Program e-Tuisyen Rakyat menjadi pemangkin kepada usaha menjadikan inisiatif itu sebagai program teras yang akan diperluaskan ke semua Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, keberkesanan program tersebut terbukti apabila 36 pelajar yang mengikutinya berjaya memperoleh keputusan 7A ke atas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.
Katanya, terdapat seorang pelajar yang hanya mengikuti tuisyen di NADI tanpa menghadiri mana-mana kelas tambahan lain, namun berjaya meraih keputusan cemerlang.
“Lebih menakjubkan, keputusan awal pelajar itu menunjukkan dia gagal dalam beberapa mata pelajaran, namun selepas setahun mengikuti e-Tuisyen Rakyat di NADI, dia memperoleh keputusan yang sangat membanggakan dalam SPM.
“Saya melihat ini sebagai satu kejayaan besar dan tahun ini program e-Tuisyen Rakyat akan dijadikan antara program teras yang akan dilaksanakan di semua NADI,” katanya selepas menghadiri program bersama International Telecommunication Union (ITU) di NADI Kubang Semang Yayasan Aman, hari ini.
Fahmi berkata, lebih 42,000 pelajar Tingkatan Lima menyertai program e-Tuisyen Rakyat pada tahun 2025 yang dilaksanakan di hampir 1,100 NADI di seluruh negara.dan jumlah tersebut dijangka terus meningkat tahun ini.
Katanya, tenaga pengajar terdiri daripada guru berkelayakan dengan kaedah pengajaran dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian, sekali gus membolehkan seorang guru mengajar lebih ramai pelajar dalam satu masa.
“Usaha kerajaan sejak dua hingga tiga tahun kebelakangan ini bukan sahaja memastikan setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) mempunyai sekurang-kurangnya satu NADI, malah meningkatkan kualiti perkhidmatan termasuk kelajuan internet.
“Terdapat NADI yang kini mencapai kelajuan internet sehingga 2 Gigabit sesaat (Gbps), dan kemudahan ini boleh dimanfaatkan komuniti bukan sahaja untuk pendidikan, malah menjana ekonomi melalui keusahawanan digital,” katanya.
Beliau berkata, tahap kesalinghubungan rangkaian 4G di Malaysia kini telah mencapai 99.7 peratus, sekali gus mencerminkan pencapaian penting negara dalam memperluas liputan digital. – UTUSAN










