Dia terlalu curiga punca Que Haidar terpaksa korbankan kerjaya 16 tahun– Ellie Suriaty - Utusan Malaysia

Dia terlalu curiga punca Que Haidar terpaksa korbankan kerjaya 16 tahun– Ellie Suriaty

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Ellie Suriaty, mendedahkan ‘kehilangan’ aktor Que Haidar daripada radar industri hiburan selama 16 tahun didakwa berpunca daripada syarat ketat yang diletakkan bekas isterinya, Linda Jasmine, sepanjang tempoh perkahwinan mereka.

Menurut Ellie, bagi menjaga keharmonian rumah tangga, Que atau Tengku Iskhan Shah bin Tengku Haidar, 47, mengambil keputusan untuk menolak sebarang tawaran berlakon walaupun ketika itu berada di puncak populariti.

“Dia berada di kemuncak kerjaya ketika berkahwin.

“Dia mengorbankan 16 tahun demi melayan paranoia (terlalu curiga) serta membesarkan anak-anak dalam suasana positif.

“Dia (wanita itu) akan mengamuk jika Que berkeras mahu menerima tawaran kerja,” katanya menerusi aplikasi Threads.

Ellie turut mendakwa, Linda menetapkan syarat ketat termasuk melarang Que berlakon bersama pelakon wanita dalam mana-mana projek.

“Jika Que mahu ke lokasi penggambaran, dia hanya dibenarkan sekiranya semua pelakon adalah lelaki.

“Tiada aktres dibenarkan berlakon dengannya, termasuk pelakon tambahan,” ujarnya.

Malah, Ellie mendakwa Que pernah menemuinya secara rahsia kira-kira 12 tahun lalu bagi meluahkan kerinduan terhadap dunia lakonan.

“Dia pernah berjumpa saya secara rahsia untuk memberitahu bahawa dia sangat merindui kerjayanya sebagai pelakon,” katanya.

Terdahulu, perkongsian Ellie meraih perhatian ramai selepas Linda Jasmine memuat naik kenyataan yang mencetuskan spekulasi apabila menyatakan hasrat melindungi anak-anaknya daripada kejahatan.

Untuk rekod, Linda dan Que mendirikan rumah tangga pada 2009 sebelum disahkan bercerai pada Julai 2024. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN