Debu merah belenggu penduduk, lori ulang-alik angkut tanah ancam nyawa

Debu merah belenggu penduduk, lori ulang-alik angkut tanah ancam nyawa

YAHYA Jat menunjukkan pokok-pokok berhampiran rumahnya yang diselaputi debu merah di Kampung Belimbing Api, Jabi, Besut, Terengganu. - UTUSAN/WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Penduduk di Kampung Belimbing Api, Jabi di sini terpaksa berdepan masalah pencemaran udara akibat debu yang bertebaran dipercayai berpunca kegiatan pengangkutan tanah di situ.

Seorang penduduk, Yahya Jat, 68, berkata, keadaan itu berlarutan sejak Februari lalu sehingga menyebabkan rumah dan kawasan sekeliling mereka diselaputi debu merah termasuk pokok-pokok yang berada di sekitarnya.

Katanya, situasi itu turut memberi ancaman kesihatan penduduk termasuk mengalami gangguan sistem pernafasan dan batuk.

“Setiap hari berbelas-belas lori berulang-alik mengangkut tanah dan keadaan menjadi lebih teruk terutama ketika cuaca panas yang mana debu bertebangan sehingga ke dalam rumah.

“Dapat dilihat pokok-pokok yang berada di sepanjang jalan sudah ‘bertukar warna’ dan bahagian daunnya dipenuhi dengan debu merah,” katanya di Kampung Belimbing Api.

Menurut Yahya, selain rumah, debu berkenaan menjejaskan kebun buah-buahannya yang terletak berhampiran laluan keluar dan masuk lori tanah tersebut.

Seorang lagi penduduk, Maznah Salleh, 61, berkata, setiap hari penduduk terlibat perlu membersih, menyapu dan mengemop lantai bagi membersihkan debu yang melekat di rumah.

“Setiap hari kami terpaksa memakai pelitup muka bagi mengelakkan terhidu udara yang dipenuhi debu halus ini, tetapi bagi kanak-kanak memakai pelitup muka sepanjang hari agak sukar berbanding golongan dewasa.

“Aduan telah kita buat kepada pihak berwajib bagi memohon bantuan agar masalah ini dapat segera ditangani,” katanya.

Susulan aduan itu, difahamkan pihak-pihak berkaitan termasuk Pejabat Daerah, Jabatan Kesihatan telah mengambil tindakan segera bagi membantu mereka yang terlibat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN