Dapur Siswa Madani UniMAP inisiatif bantu kebajikan pelajar

Dapur Siswa Madani UniMAP inisiatif bantu kebajikan pelajar

DR. Azlinda Azman dan Dr. Zaliman Sauli bersama pelajar semasa perasmian Dapur Siswa@UniMAP di universiti itu, di Perlis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Inisiatif Dapur Siswa Madani di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menjadi penyelesaian berkesan dalam membantu mahasiswa berjimat, selain menyuburkan nilai kesukarelawanan dalam kalangan warga kampus.

Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata, inisiatif tersebut diwujudkan sebagai satu inisiatif prihatin yang menyediakan kemudahan kepada pelajar untuk menyediakan makanan secara lebih ekonomi, selamat dan teratur.

Katanya, inisiatif itu juga selari dengan aspirasi kerajaan dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa sentiasa diberi keutamaan.

“UniMAP menyifatkan penubuhan dapur ini sebagai satu langkah proaktif dalam menyokong agenda kesejahteraan pelajar secara holistik, khususnya dalam mendepani cabaran kos sara hidup masa kini.

“Diharapkan inisiatif seperti ini dapat diperluaskan lagi pada masa hadapan demi memastikan kebajikan mahasiswa terus terpelihara dan kesejahteraan kampus kekal terjamin,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, pelajar Tahun Satu Teknologi Kejuruteraan Mekanikal, Muhamad Darwisy Irfan Mohamad Dasuki, 19, berkata, Dapur Siswa Madani membantu menjimatkan perbelanjaan harian di kolej kediaman.

“Dengan adanya inisiatif ini, saya hanya perlu membeli lauk tambahan seperti sardin atau telur menggunakan baucar FoodBank untuk dimakan bersama makanan percuma yang disediakan sukarelawan.

“Kami juga bergotong-royong memasak seperti bihun goreng untuk dikongsi bersama rakan-rakan, sekali gus mengurangkan kos harian,” katanya.

Majlis perasmian inisiatif tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Dr. Azlinda Azman.

Beliau turut menyampaikan replika cek dana berjumlah RM178,008.99 bagi Fasa 1 khusus untuk pelaksanaan Dapur Siswa Madani @ UniMAP melibatkan lima kolej kediaman di universiti itu.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar Jabatan Pendidikan Tinggi, Hirman Awang; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UniMAP, Mohd Shukry Abdul Majid serta Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Mohd Mustafa Al-Bakri Abdullah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN