Bukan potong usus, ‘cucuk’ – Ryan Bakery susut 11kg - Utusan Malaysia

Bukan potong usus, ‘cucuk’ – Ryan Bakery susut 11kg

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon, Ryan Bakery, mendedahkan berjaya menurunkan berat badan sebanyak 11 kilogram dalam tempoh singkat.

Ryan atau Muhammad Ryan Fahmi Bakery, 31, berkata, penurunan berat badan itu berlaku secara semula jadi hasil perubahan pemakanan tanpa menjalani sebarang prosedur bariatrik mahupun rawatan kosmetik.

“Saya turun hampir 11 kilogram. Daripada 75 kilogram, sekarang berat saya sekitar 64 kilogram. Ini bukan sebab potong usus atau ‘cucuk-cucuk’ (suntikan).

“Sebenarnya saya tidak meletakkan sebarang sasaran untuk berdiet. Namun apabila tinggal bersama isteri, saya terikut-ikut cara dia menjaga pemakanan. Isteri saya memang jenis yang menjaga makan, jadi saya turut terpengaruh,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Ryan berkata, perubahan fizikal tersebut juga didorong keperluan menjayakan sebuah projek lakonan selepas Hari Raya yang memerlukannya membawakan watak sebagai pelajar sekolah.

“Inilah peluang terbaik untuk kurus sedikit memandangkan ada projek yang memerlukan saya tampil sebagai budak sekolah.

“Sebab itu saya pendekkan rambut dan membuang misai supaya kelihatan lebih muda,” ujarnya.

Selain faktor pemakanan, pemenang trofi Popular Creator of the Year di TikTok Awards Malaysia 2023 itu turut mengakui pemakaian pendakap gigi menjadi antara punca berat badannya menyusut.

“Gigi saya sebenarnya tidak teratur. Apabila anak semakin membesar, pernah berlaku dia terlanggar muka saya hingga menyebabkan bibir pecah dan gigi sakit.

“Ketika berjumpa doktor untuk mencabut gigi, saya disarankan memasang pendakap gigi. Jadi saya terus melakukannya pada bulan puasa lalu.

“Itu juga antara sebab berat badan saya turun kerana saya tidak boleh makan seperti biasa. Jika dahulu saya gemar makan sup ayam, kini lebih banyak mengambil bubur,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN