KUALA LUMPUR: Bapa seorang lelaki yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram, Johor, dua tahun lalu, didakwa menanam ideologi pengganas kepada ahli keluarganya.
Salah seorang tertuduh, Radin Imran Radin Mohd Tassin, 64, turut mengasingkan ahli keluarganya daripada masyarakat.
Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam ketika membaca ucapan pembukaan pada hari pertama perbicaraan kes berkait serangan tersebut di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
“Pihak pendakwaan akan mengemukakan keterangan bahawa tertuduh pertama bukan sahaja mengasingkan keluarganya daripada masyarakat, malah menanam fahaman ideologi keganasan secara berterusan sejak 2014 sehingga penahanan mereka pada 17 Mei 2024.
“Penanaman ideologi itu turut membabitkan isteri dan anak-anaknya, termasuk Radin Luqman yang kemudian bertindak melepaskan tembakan di Balai Polis Ulu Tiram sehingga mengorbankan dua anggota polis serta mencederakan dua lagi,” katanya.
Prosiding itu berlangsung di hadapan Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor.
Kesemua tertuduh diwakili oleh peguam bela, Faizal Rahman.
Mohamad Mustaffa berkata, pasukan pendakwaan akan membuktikan tertuduh pertama, Radin Imran Radin Mohd Tassin, 64, menanam ideologi itu kepada Radin Luqman, 21, yang melepaskan tembakan di balai polis itu pada pukul 2.54 pagi, 17 Mei 2024.
Katanya, insiden itu menyebabkan kematian dua anggota polis yang bertugas di balai polis berkenaan serta kecederaan kepada dua anggota lain.
Mohamad Mustaffa turut berkata, pihak pendakwaan juga akan membuktikan Radin Imran dan anak lelakinya yang juga tertuduh kedua, Radin Romyullah, 36, memberi sokongan kepada kumpulan pengganas IS termasuk berbai’ah kepada pemimpinnya, Abu Bakar Al-Baghdadi sekitar penghujung 2014.
Pada masa sama, katanya, tertuduh ketiga (isteri Radin Imran), Rosna Jantan, 61, serta anak perempuannya, Mariah, 21, (tertuduh keempat) dan Sobrina, 25 (tertuduh kelima) pula didakwa gagal melaporkan aktiviti berkenaan walaupun mempunyai sebab untuk mempercayai kesalahan itu telah dilakukan.
“Pihak pendakwaan juga akan mengemukakan keterangan pakar bagi membuktikan bahawa kandungan buku bertajuk ‘Hakikat Islam & Hakikat Syirik oleh Abu Sulaiman Aman Abdurrahman’ yang dirampas daripada tertuduh pertama dan cakera keras yang dirampas daripada tertuduh kedua adalah berkait dengan kumpulan pengganas IS.
“Kumpulan pengganas IS sudah diwartakan sebagai kumpulan pengganas menurut Seksyen 66B dan 66D Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 melalui Warta Kerajaan Persekutuan pada 12 November 2014,” katanya.
Semasa serangan di Balai Polis Ulu Tiram pada 17 Mei 2024, dua konstabel polis iaitu Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban manakala Koperal Mohd Hasif Roslan, 38, cedera ditembak selepas diserang seorang lelaki yang akhirnya ditembak mati dalam insiden terbabit.-UTUSAN










