KOTA BHARU: Seorang pelajar yang menghidap autisme mencatat keputusan meraih keputusan 10A dan 1B dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 sekali gus membuktikan penyakit itu bukan penghalang untuk mencipta kejayaan.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat, Nur Syahirah Syazwani Zailani, 18, bangkit mengatasi kekangan diri untuk muncul antara pelajar terbaik, sekali gus mengatasi keputusan percubaan yang hanya mencatat 7A, 1B dan 3C.
Disahkan menghidap autisme pada usia 16 tahun, Nur Syahirah mengakui dia berdepan tekanan emosi serta kesukaran bergaul, namun memilih untuk memberi fokus sepenuhnya terhadap akademik menerusi kelas tambahan dan tuisyen dalam talian.
“Alhamdulillah, saya jadikan kekurangan ini sebagai kekuatan. Saya banyak habiskan masa mengulang kaji selama tiga hingga empat jam setiap hari.
“Selain itu, saya mengamalkan bacaan surah al-Mulk, al-Kahfi dan Yasin bagi menenangkan diri,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Nur Syahiran memberitahu, dia lebih selesa belajar dari rumah turut mengakui pernah melalui detik sukar sehingga enggan ke sekolah, namun sokongan keluarga menjadi pemangkin untuk terus bangkit.
Anak bongsu itu kini berhasrat melanjutkan pengajian dalam program asasi Teknologi Maklumat (IT) di universiti.
Sementara itu, ibunya, Maznah Kadir, 51, berkata, kejayaan anaknya itu melangkaui jangkaan keluarga yang hanya menyasarkan sekitar 8A.
“Walaupun berdepan autisme, dia sangat berdisiplin dan tekun. Kami sentiasa pastikan dia tidak mengabaikan pelajaran,” katanya.
Menurutnya, Nur Syahirah pernah menyambung pengajian di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Krai, namun berhenti selepas empat bulan kerana tidak selesa tinggal di asrama.
Tambah Maznah, anaknya kini masih menjalani rawatan susulan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.-UTUSAN










