PETALING JAYA: Pelakon, Atikah Suhaime, mengakui melalui fasa menyesuaikan diri dalam rumah tangga apabila kadangkala berasa rimas dengan tindakan suaminya, Datuk Lokman Teh.
Oleh itu, menurut Atikah atau Nur Atikah Mohd Suhaime, 35, dia mengamalkan zikir istighfar sebanyak 100 kali setiap hari sebagai usaha melembutkan hati dan mengawal emosi.
“Ujian selepas berkahwin itu memang benar. Sebelum kahwin, saya melihat suami sebagai seorang yang sempurna.
“Namun selepas berkahwin, ada perkara kecil yang dilakukan pun boleh membuatkan saya berasa rimas.
“Saya amalkan istighfar 100 kali selepas Subuh. Perlahan-lahan hati kembali lembut terhadap suami,” ujarnya.
Dalam pada itu, pelakon drama Tuan Danial itu turut berpendapat perubahan emosi yang dialami mungkin berkait rapat dengan rutin ibadah, khususnya ketika berada dalam tempoh haid.
“Saya perasan setiap kali datang bulan, mudah timbul perselisihan faham kerana saya tidak dapat menunaikan solat seperti biasa. Apabila tempoh itu berakhir dan saya kembali beribadah, keadaan kembali baik,” katanya.
Atikah mendapatkan pandangan orang ramai sama ada situasi tersebut adalah normal atau sebaliknya.
Hantaran tersebut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial yang rata-ratanya menyifatkan perubahan emosi itu sebagai perkara biasa akibat perubahan hormon.
Pelakon, Ako Mustapha, turut berkongsi pandangan dengan menyatakan situasi sedemikian sering berlaku dalam rumah tangga.
“Isteri saya juga mengalami perubahan mood ketika datang bulan, namun kembali seperti biasa selepas itu,” katanya.
Seorang pengguna lain pula menasihatkan agar amalan zikir masih boleh diteruskan walaupun dalam keadaan uzur bagi membantu menenangkan diri.
Untuk rekod, Atikah mendirikan rumah tangga dengan Lokman pada Januari 2024 dalam sebuah majlis tertutup yang hanya dihadiri keluarga serta rakan terdekat. — UTUSAN










