Anwar beri bayangan tiada pilihan raya dalam masa terdekat - Utusan Malaysia

Anwar beri bayangan tiada pilihan raya dalam masa terdekat

ANWAR Ibrahim beramah mesra bersama pengunjung pada Program Madani Rakyat (PMR) negeri Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Datuk Seri Anwar Ibrahim membayangkan pilihan raya tidak akan diadakan dalam masa terdekat ekoran perang di Asia Barat dan situasi kegawatan yang melanda dunia sekarang.

Perdana Menteri berkata, isu yang dihadapi Malaysia sekarang merupakan realiti ekonomi dunia dan bukannya perang politik.

“Ini realiti ekonomi. Ini bukan soal pertarungan politik. Saya tidak akan mengadakan pilihan raya satu dua bulan ini. Sabar sekejap. Esok masa pilihan raya nanti, bertempurlah,” katanya semasa berucap dalam Program Madani Rakyat 2026 Perak di sini hari ini.

Sebelum ini timbul desas-desus kononnya Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) akan diadakan dalam tahun ini kerana melihatkan keadaan parti pembangkang yang berpecah-belah selain petanda ekonomi Malaysia yang positif.

Dalam ucapannya juga, Anwar meluahkan rasa kecewa terhadap sikap sesetengah pihak yang mengambil mudah situasi yang sedang dihadapi negara dan terus menyerang kerajaan.

Jelasnya, banyak negara kini terpaksa melakukan pelbagai tindakan drastik termasuk menaikkan harga minyak serta mencatu bekalan minyak sedangkan Malaysia masih mampu mengekalkan petrol pada harga RM1.99 seliter.

“Perdana Menteri dimaki hamun itu saya tidak kisah, kerana saya tumpukan kerja. Tetapi jangan ganggu gunakan kebebasan (untuk mencipta perkara yang tidak benar),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN