KUALA LUMPUR: Penyanyi, Amir Masdi, meluahkan rasa terharu apabila menerima pujian daripada Perdana Menteri, Datuk seri Anwar Ibrahim, terhadap kualiti vokal dan persembahannya dalam Konsert Winds of Glory: AM: PM dan SPWinds In Concert.
Pujian tersebut disampaikan oleh Pengetua Sekolah Seri Putri (SSP), Julaila Yahya, yang memaklumkan bahawa Perdana Menteri amat kagum dengan persembahan bertenaga Amir sepanjang konsert yang berlangsung selama dua jam itu.
Mengulas perkara tersebut, Amir atau nama sebenarnya Amir Syazwan Masdi, 29, mengakui tersentuh apabila bakatnya mendapat perhatian daripada pemimpin nombor satu negara.
“Nampak tak bulu roma saya meremang? Apabila beliau memberikan pujian, saya berbesar hati menerimanya bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi juga buat SPWinds. Tanpa SPWinds, suara saya tidak akan kedengaran seindah itu, selain sokongan pasukan produksi dan semua yang terlibat.
“Secara peribadi, saya bersama SPWinds ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri atas sokongan dan kata-kata positif,” katanya ketika ditemui di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, pada Jumaat.
Konsert Winds of Glory menampilkan kolaborasi unik antara Amir dan kumpulan orkestra Sekolah Seri Putri (SPWinds), dengan membawakan lebih 28 buah lagu.
Berkongsi lanjut, juara Akademi Fantasia 2016 itu mengakui cabaran utama adalah kekangan masa latihan.
“Memang mencabar untuk menjayakan konsert dengan lebih 28 lagu hanya melalui empat sesi latihan. Namun, saya meletakkan kepercayaan penuh kepada para puteri SPWinds.
“Walaupun berdepan peperiksaan, mereka tetap berlatih secara berdikari. Disiplin mereka sangat tinggi dan gabungan tenaga kami menghasilkan persembahan yang cukup mantap,” ujarnya.
Dalam pada itu, antara momen paling mencuri tumpuan ialah ketika Amir menyampaikan lagu Azizah, karya malar segar yang dipopularkan oleh seniman agung, P. Ramlee.
Menurut Amir, pemilihan lagu tersebut merupakan idea pihak SPWinds bagi meraikan kehadiran tetamu kehormat.
“Saya hanya menurut cadangan pihak sekolah. Mereka memaklumkan Datuk Seri menggemari lagu M. Nasir serta Azizah. Pada awalnya saya agak terkejut kerana belum pernah menyanyikannya.
“Saya kemudian mempelajari lagu itu, manakala pihak orkestra menyediakan susunan muzik baharu yang lebih segar dan sesuai dengan vokal saya. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar,” katanya.
Sementara itu, Julaila turut berkongsi bahawa Perdana Menteri telah menyalurkan sumbangan kepada Kumpulan Sokongan Ibu Bapa SPWinds (KSIB) di bawah Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Seri Putri bagi menyokong perkembangan bakat pelajar.
Konsert tersebut dianjurkan sebagai usaha mengumpul dana bagi membolehkan SPWinds menyertai pertandingan orkestra antarabangsa, World Music Contest (WMC) 2026 yang dijadual berlangsung pada Julai depan di Kerkrade, Belanda.
Pada tahun lalu, SPWinds mencipta kejayaan apabila meraih Anugerah Emas dalam World Orchestra Festival ke-11 di Vienna. — UTUSAN










