KUALA LUMPUR: Aktivis politik, Faizan Mohd Nor dan pengasas PKR, Ng Lum Yong hari ini mengepalai puluhan peserta berdemo di depan pejabat Invoke Solution milik Datuk Seri Rafizi Ramli bagi menuntut Ahli Parlimen Pandan itu agar bersara daripada politik.
Selain berpiket, Faizan juga akan menyerahkan memo kepada Rafizi untuk menuntut perkara yang sama.
Bercakap kepada media, Faizan berkata, Rafizi Ramli telah gagal selaku ahli politik dan menteri, justeru, seharusnya mengambil tanggungjawab untuk bersara sepenuhnya dari dunia politik agar negara ini kembali stabil dan boleh maju ke hadapan.
“Cukup-cukuplah porak-perandakan negara ini demi cita-cita politik kamu, Rafizi.
“Sesungguhnya, selepas kamu gagal untuk menunaikan janji-janji dalam manifesto PRU15 dan seterusnya selaku Menteri Ekonomi juga gagal untuk memajukan negara, maka kamu perlu mengambil tanggungjawab untuk bersara,” katanya.
Sebelum ini, Faizan pernah menasihatkan Rafizi supaya bersara daripada politik selepas pelbagai pihak melabelkan beliau sebagai menteri yang gagal serta liabiliti kepada partinya sendiri.
Bekas Timbalan Presiden PKR itu turut dikenali sebagai ‘raja formula’ yang gagal, selain mendakwa ramai penyokong Pakatan Harapan (PH) berasa tertipu dengan janji-janji yang dibuat Rafizi sebelum PRU15.
Ng Lum Yong pula mendakwa Rafizi Ramli adalah menteri paling gagal sejak mula dilantik sebagai Menteri Ekonomi pada Disember 2022 sebelum meletak jawatan pada Jun 2025.
Berdasarkan pemerhatiannya dalam tempoh hampir tiga tahun itu, Rafizi telah membuktikan kepada umum bahawa beliau gagal untuk menunaikan janji-janji manifesto PH untuk PRU15, selain tidak melakukan apa-apa reformasi ekonomi semasa menjadi menteri.
Katanya, banyak formula ekonomi yang dirangka juga tidak dilaksanakan, malah beliau hanya tahu sembang sahaja.
Mengulas lanjut, Faizan berkata, pihaknya akan melakukan lebih banyak program selepas ini bagi memastikan Rafizi Ramli bersara, sama ada beliau sendiri berhenti atau rakyat atau pengundi Pandan menghentikan kerjaya politik beliau. – UTUSAN










