PETALING JAYA: Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menyokong penguatkuasaan Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) yang disifatkan sebagai langkah progresif dalam memperkukuh perlindungan pekerja dalam ekonomi gig di negara ini.
Setiausaha Agungnya, Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, penguatkuasaan akta berkenaan bermula 31 Mac lalu merupakan perkembangan penting bagi memastikan pekerja gig tidak lagi berada dalam kekosongan perlindungan undang-undang.
Menurutnya, langkah kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) itu juga meletakkan Malaysia antara negara terkehadapan dalam membentuk kerangka perlindungan pekerja gig di peringkat antarabangsa.
“Akta ini menyediakan asas perlindungan penting termasuk ketelusan perjanjian perkhidmatan, kepastian kadar bayaran serta akses kepada mekanisme penyelesaian pertikaian yang lebih tersusun.
“Selain itu, perlindungan keselamatan sosial melalui PERKESO serta larangan terhadap diskriminasi dan penamatan tanpa sebab munasabah turut mengangkat martabat pekerja gig sebagai sebahagian tenaga kerja negara,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Effendy, akta tersebut dijangka memberi manfaat kepada lebih 1.6 juta pekerja gig di Malaysia sekali gus mencerminkan komitmen negara dalam membangunkan ekosistem pekerjaan lebih adil dan inklusif.
Dalam pada itu, UNI-MLC menyambut baik pendekatan tripartit melalui penubuhan Majlis Perundingan Gig yang menghimpunkan wakil kerajaan, pekerja dan entiti kontrak bagi membincangkan isu berkaitan sektor berkenaan.
Beliau berkata, penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) juga dilihat sebagai langkah strategik bagi memastikan tadbir urus sektor itu lebih tersusun dan berkesan.
“Bagaimanapun, katanya, penguatkuasaan akta tersebut perlu disusuli dengan libat urus berterusan bersama semua pihak berkepentingan khususnya wakil pekerja dan kesatuan sekerja.
“Penetapan kadar pendapatan minimum perlu dilaksanakan secara telus dan mengambil kira kos sara hidup semasa serta realiti pekerjaan gig.
“Penguatkuasaan oleh agensi berkaitan juga perlu dilakukan secara konsisten bagi memastikan pematuhan sebenar di peringkat lapangan,” katanya.
UNI-MLC turut menekankan keperluan memperluaskan skop perlindungan termasuk aspek keselamatan pekerja gig yang berdepan risiko seperti gangguan seksual, ancaman fizikal dan penipuan.
Beliau berkata, perlindungan tersebut perlu merangkumi dimensi hak asasi manusia termasuk jaminan keselamatan serta mekanisme aduan yang lebih berkesan.
“Fleksibiliti dalam ekonomi gig tidak boleh disalah tafsir sehingga menjejaskan hak asas pekerja.
“Keseimbangan antara fleksibiliti dan perlindungan perlu terus diperkukuh bagi memastikan pembangunan ekonomi gig yang adil dan mampan,” katanya. – UTUSAN










