AI bukan permainan saya -Naqiu - Utusan Malaysia

AI bukan permainan saya -Naqiu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Naqiu memaklumkan dia buat masa ini tidak merancang untuk menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan lagu.

Naqiu atau nama sebenarnya Wan Naqiuddin Mohd. Najib memilih untuk kekal menghasilkan karya secara konvensional tanpa terikut-ikut langkah segelintir pencipta moden yang rancak menggunakan AI.

“AI bukan permainan saya. Sebagai generasi terdahulu, saya masih berpegang cara lama untuk mencipta lagu.

“Buat masa ini, saya belum terpanggil menggunakan AI.

“Tetapi saya tidak memandang negatif mana-mana pencipta lagu yang menggunakan platform itu untuk mencipta karya. Cuma AI ini bukan untuk saya,” katanya dalam sesi bersama media di Red Box The Garden, baru-baru ini.

Mengulas tentang lagu ciptaannya, Satu yang dinyanyikan Azmi Saat, Naqiu meluahkan rasa gembira kerana karya itu akhirnya diperdengarkan kepada umum selepas lima tahun diperam.

“Saya simpan lagu kerohanian ini agak lama, melodinya sudah siap sebelum penulis, Wit Mohsen memberi cadangan Satu sebagai tajuk dan kemudian terus menghasilkan lirik.

“Kebetulan tidak lama selepas itu saya terjumpa Azmi, jadi saya terus minta dia nyanyikan kerana lagu jenis ini ‘makanan’ dia.

“Namun hasrat untuk menerbitkan Satu ini tergendala kerana pandemik. Bahkan selepas itu pun tidak juga dikeluarkan kerana kesibukan saya dengan kerja-kerja seni yang lain.

“Sehinggalah baru-baru ini label Sony Music Malaysia tawarkan peluang menghasilkan lagu latar untuk drama Mencari Isteri Sempurna. Saya terus cadangkan lagu ini dan kemudiannya panggil Azmi untuk rakam semula,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN