Adik pernah dibuli, disindir cikgu hingga alami keresahan - Athalia

Adik pernah dibuli, disindir cikgu hingga alami keresahan – Athalia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi dan selebriti media sosial, Athalia Deena, mendedahkan adik kandungnya, Ariana Deena pernah menjadi mangsa buli ketika menuntut di sebuah sekolah menengah.

Menurut Athalia, pengalaman pahit itu dilalui adiknya selama tiga tahun sehingga memberi kesan terhadap emosi dan prestasi akademik.

“Adik perempuan saya itu sebenarnya sangat cemerlang dalam pelajaran dalam kalangan keluarga kami.

“Namun, apabila berada di sekolah, dia hilang fokus dan berubah menjadi seorang yang sering diserang keresahan (anxiety) setiap kali pulang dari sekolah. Ada masanya dia enggan ke sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis rumah terbuka FYP anjuran Indigitals di LMP Events Hall, di sini, semalam.

Tambah Athalia, situasi tersebut menjadi lebih membimbangkan apabila perbuatan buli itu turut melibatkan seorang guru yang didakwa menjadikan media sosial keluarganya sebagai bahan sindiran di dalam kelas.

“Keadaan pernah menjadi sangat melampau apabila adik saya tidak hadir ke sekolah, namun guru berkenaan memantau akaun Instagram kami serta ibu saya.

“Keesokan harinya, guru tersebut menyindir adik saya di hadapan rakan sekelas. Keadaan ini sangat toksik, sedangkan apa yang dikongsikan mungkin sekadar kenangan lama (throwback),” ujarnya.

Susulan itu, ibunya yang juga penyanyi, Sharifah Zarina mengambil keputusan memindahkan kedua-dua adiknya ke sekolah lain.

Tindakan tersebut membuahkan hasil apabila kedua-dua adiknya kembali cemerlang dalam pelajaran dan berjaya memperoleh 8A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan baru-baru ini.

Terdahulu, menerus laman sosial, adik kepada Athalia, Ariana mendedahkan pernah dipanggil ‘bodoh’ oleh seorang cikgu kerana minatnya terhadap nyanyian dan mempunyai sejumlah pengikut di laman sosial. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN