KUALA LUMPUR: Seramai 34 lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan melakukan rusuhan dengan membawa senjata di sebuah pusat hiburan di Taman Shamelin, di sini, Ahad lalu.
Majistret Faezahnoor Hassan memerintahkan kesemua 32 tertuduh yang berusia antara 21 dan 57 tahun masing-masing didenda RM3,000 atau penjara selama empat bulan sekiranya gagal membayar denda itu.
Mereka ialah Tan Chee Chin, G Bathmanathan, M Kogilan, Lim Puay Fei, Kevin Yong Kai Wen, Ong Zhi Jian, Looi Khai Xuan, Voison Chor, Tan Jun Ning, Hee Tuck Choy, Ching Thong Hai, Kee Jin Xuan, Lim Teong Yow, Chan Kuang Man dan Ho Chee Seong.
Tertuduh lain pula ialah Wong Chee Siong, Liang Chung Weng, G Srikanth, A Ganesan, Lee Ming Choong, Wong Wai Khuen, Khor Ka Lok, Ong Zheng Yuan, Yam Hao Jie, Lim Jia Cheng, Chai Chun You, Kher Kuan Heng, Ong Aik Chim, Chong Khai Jun, Hadzrin Julasrin, Lee Tuck Wah dan Chin Chin Chung.
Dua lagi tertuduh yang masing-masing berusia 19 tahun, Alvin Yong Kai Zhe dan Chong You Heng pula didenda RM2,000, penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda itu.
Mengikut pertuduhan, kesemua lelaki itu didakwa telah menyertai rusuhan dan semasa rusuhan itu memiliki senjata api, amunisi, bahan letupan, kayu, batu dan apa-apa senjata yang boleh mencederakan digunakan untuk menyerang di Pusat Karaoke Polygram di Cheras di sini, kira-kira pukul 7.30 malam, 5 April lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali.
Prosiding mengambil masa sejam ekoran pertuduhan dibacakan terhadap tertuduh secara berasingan. Ekoran jumlah tertuduh yang terlalu ramai, ada yang terpaksa berdiri di luar kandang termasuk seorang diusung dengan kerusi roda.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farhana Mohamad Poad memohon hukuman setimpal disebabkan kes itu melibatkan kepentingan awam sehingga menimbulkan kekecohan dan kegentaran pada masyarakat.
Peguam bela, Mohammad Arifin Abdul Wahab yang mewakili kesemua tertuduh merayu hukuman denda minimum kerana pengakuan bersalah mereka telah menjimatkan masa dan kos mahkamah.
“Antara mereka ada yang bekerja sebagai penghantar makanan, pembantu restoran dan berniaga sendiri secara dalam talian. Mereka telah ditangkap secara bersama serta tidak pernah disabitkan dengan apa-apa kesalahan sebelum ini.
“Kesemua tertuduh juga memberikan kerjasama sepanjang proses tangkapan dan siasatan dijalankan. Mereka menyesal, memohon maaf dan berjanji akan mematuhi undang-undang di masa akan datang,” katanya.
Mengikut fakta kes, pada pukul 7.30 malam, 5 April lalu, pihak polis menerima laporan berhubung kes pergaduhan menggunakan lori dan melanggar pintu pagar.
Sekumpulan lelaki bertindak melakukan khianat dengan memecahkan barang di kawasan tersebut dan siasatan polis mendapati, terdapat suspek menggunakan senjata untuk melakukan serangan.
Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, seramai 45 individu termasuk dua pelajar sekolah ditahan berhubung serangan di sebuah pusat hiburan di Taman Shamelin, pada Ahad lalu, yang bermotifkan dendam peribadi antara pemilik kelab dan pesaing perniagaan.
Rakaman mengenai kejadian ceroboh dan rusuhan itu juga tular dengan kelihatan sebuah lori merempuh pagar pusat karaoke itu sebelum lebih 60 individu memakai topeng penutup muka meluru masuk sekitar pukul 1.30 tengah hari. – UTUSAN










