3,000 kakitangan awam Negeri Sembilan layak BDR

3,000 kakitangan awam Negeri Sembilan layak BDR

AMINUDDIN Harun pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, Seremban hari ini -UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kira-kira 3,000 orang atau 50 peratus daripada 6,000 kakitangan awam di negeri ini dijangka mengambil bahagian dalam pelaksanaan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) bermula 15 April ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, BDR akan dilaksanakan antara Selasa, Rabu dan Khamis manakala Isnin dan Jumaat wajib bekerja secara fizikal.

Beliau berkata, kakitangan yang terlibat perlu memilih dua hari daripada tiga hari seminggu yang dibenarkan untuk BDR.

“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri hari ini bersetuju melaksanakan BDR bagi perkhidmatan awam di Negeri Sembilan susulan pengumuman Perdana Menteri dan Surat Edaran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bertarikh 2 April lalu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Aminuddin, pegawai yang layak dipertimbangkan untuk BDR tinggal di kediaman yang jarak perjalanan sehala ke pejabat melebihi lapan kilometer (km).

Jelasnya, pelaksanaan BDR merangkumi semua jabatan dan agensi di bawah pentadbiran kerajaan negeri dengan melibatkan dua sektor utama iaitu pengurusan dan pentadbiran serta operasi.

Tambahnya, bagi sektor pengurusan dan pentadbiran seperti kewangan, pentadbiran dan sumber manusia, pelaksanaan BDR tertakluk kepada kelulusan ketua jabatan.

“Bagi sektor operasi yang membabitkan pegawai teknikal termasuk jurutera, penolong jurutera, penghulu, penolong pegawai tanah dan penguat kuasa, pelaksanaan dibuat secara penggiliran.

“Ia bagi memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus kakitangan berada di pejabat atau lapangan setiap hari.

“Pelaksanaan ini tidak melibatkan sektor kritikal seperti pertahanan dan keselamatan selain sektor kesihatan serta pendidikan yang membabitkan sesi persekolahan,” ujarnya.

Aminuddin menegaskan, kerajaan negeri memberi jaminan pelaksanaan BDR tidak akan menjejaskan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.

“Kerajaan negeri akan menilai keberkesanan pelaksanaan ini pada setiap masa dan boleh menarik balik BDR pada bila-bila masa jika ia terbukti menjejaskan pentadbiran,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN