KUALA TERENGGANU: Sebanyak 2,500 ekor ayam yang dijual pada harga 90 sen seekor habis dalam tempoh dua jam di Jalan Merbau Patah, di sini, semalam.
Selain membantu orang ramai mendapatkan ayam pada harga promosi, jualan tersebut diadakan sempena perpindahan gerai perniagaan Profesor Ayam Segar ke lokasi baharu, iaitu kira-kira 50 meter dari tapak asal.
Pemiliknya, Mohd. Sulaimi Hasan, 58, berkata, jualan bermula seawal pukul 8 pagi itu mendapat sambutan luar biasa apabila semua ayam ‘licin’ menjelang pukul 10 pagi.
Katanya, orang ramai mula beratur seawal selepas waktu subuh bagi mendapatkan ayam pada harga promosi berkenaan.
“Tak sangka sambutan begitu menggalakkan, namun kami hanya mampu menyediakan 2,500 ekor. Setiap pelanggan pula dihadkan kepada dua ekor. Ramai juga yang tidak sempat membeli. Jika ada rezeki lebih, kami bercadang mengadakan jualan seperti ini lagi pada masa akan datang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Sementara itu, seorang pelanggan, Shukri Abdullah, 47, berkata, dia datang seawal pukul 7.30 pagi selepas mengetahui mengenai jualan berkenaan melalui media sosial.
Katanya, peluang membeli ayam pada harga 90 sen seekor amat jarang diperoleh, lebih-lebih lagi dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Ini kali pertama saya dapat beli ayam pada harga serendah ini. Memang berbaloi dan sangat membantu pengguna. Saya ucapkan terima kasih kepada peniaga kerana menawarkan harga yang sangat murah,” katanya. – UTUSAN
CAPTION
ORANG ramai beratur panjang bagi mendapatkan ayam berharga 90 sen seekor di Profesor Ayam Segar Merbau Patah, Kuala Terengganu, Terengganu. – IHSAN PROFESOR AYAM SEGAR










