PUTRAJAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memuji langkah beradab ditunjukkan bekas ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang menyerahkan surat permohonan untuk kembali menyertai parti itu.
Menurut beliau, tindakan bekas Ketua Pemuda UMNO itu menunjukkan kesetiaan dan semangatnya terhadap parti, walaupun menghadapi pelbagai cabaran sebelum ini.
“Kita mengalu-alukan langkah yang dibuat oleh KJ (Khairy Jamaluddin) kerana sejak daripada awal sehingga lah sekarang, walaupun beliau menghadapi masalah, beliau mahu, jiwanya itu jiwa UMNO.
“Sebab itu kita lihat baru-baru ini, kita ada Perhimpunan Agung UMNO, beliau pun berada bersama,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Forum Ilmuwan Malaysia Madani di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di sini hari ini.
Khairy yang sebelum ini dipecat daripada parti itu, secara rasmi telah menyerahkan surat rayuan untuk kembali bersama UMNO, semalam kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid berkata, beliau secara peribadi telah menerima permohonan itu dan akan dipanjangkan kepada Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa yang dipengerusikan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk diperhalusi dan diperakukan sewajarnya.
Dalam pada itu, Zambry turut mengucapkan terima kasih kepada Ahmad Zahid yang membuka ruang melalui idea penubuhan ‘Rumah Bangsa’, bertujuan mengembalikan bekas-bekas ahli kepada parti.
“Ini merupakan satu idea besar yang datang daripada seorang pemimpin yang mempunyai jiwa yang besar, beliau tidak mahu lagi melihat ke belakang, tapi kalau hendak lihat daripada segi peristiwa lalu, tentunya ia akan menyukarkan langkah-langkah ke hadapan.
“Jadi dengan pertemuan semalam, khususnya KJ pergi dengan penuh beradab jumpa dengan Presiden sendiri, nyatakan hasrat beliau. Dan ini merupakan satu proses dalam konteks politik UMNO itu sendiri dan juga politik Malaysia.
“Dan saya harapkan agar ada sinar baharu dalam kita memperkukuhkan politik UMNO dan juga politik nasional secara keseluruhannya kerana kita ingin melihat politik negara sentiasa stabil dengan tokoh-tokoh yang ada, dapat memberikan sumbangan kepada pembangunan negara,” katanya.
Ketika ditanya sama ada ‘Rumah Bangsa’ turut akan menerima tokoh-tokoh lain termasuk bekas Ketua Pembangkang, Zambry secara ringkas memaklumkan bahawa pintu itu sentiasa terbuka kepada sesiapa sahaja yang hendak kembali kepada UMNO. – UTUSAN










