KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Zaki Yamani memohon maaf kerana mempersendakan bapanya, Datuk Jamal Abdillah dalam kandungan yang dimuat naik di media sosialnya sebelum ini.
Bintang berusia 19 tahun itu menyedari yang tindakan tersebut tidak wajar serta mengundang persepsi negatif masyarakat.
“Sebagai anak saya terkesan, tindakan saya itu tidak wajar. Saya tersilap kata apabila menyifatkan nyanyian ayah saya tidak sedap apabila membawakan lagu Aku Cinta Padamu yang dipopularkan Datuk Seri Siti Nurhaliza.
“Yang ingin saya katakan sebenarnya adalah nyanyiannya itu tidak sebaik Siti kerana bagi saya hanya penyanyi asal yang mampu menyanyikan lagu berkenaan dengan baik.
“Apa pun itu sekadar pandangan peribadi saya. Ramai orang tahu yang ayah saya penyanyi yang bagus. Saya sayang ayah saya, tiada niat merendahkan beliau. Saya tahu kedudukan beliau dalam dunia seni tanah air,” katanya pada sidang media filem Tiket Sehala dan Majlis Berbuka Puasa baru-baru ini.
Terdahulu Zaki dan anak kepada Datuk Awie iaitu Putra Ahmad Merrah menerima kritikan kerana mempersendakan gaya nyanyian bapa mereka ketika bersiaran langsung dalam media sosial baru-baru ini.
Zaki dalam masa yang sama memaklumkan telah dihubungi bapanya dan menerima teguran berkenaan hal tersebut.
“Ayah hubungi saya bulan lepas. Beliau tidak marah, cuma beri teguran. Saya pun tidak sangka sedutan siaran langsung itu tular,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Zaki bakal muncul dalam filem Tiket Sehala yang turut menggabungkan pelakon Korea Selatan, Thailand dan Indonesia.
Kata Zaki pembabitan dalam filem itu membuka peluang untuknya menjejakkan kaki ke Korea Selatan ketika mengikuti penggambaran selama dua minggu di negara itu.
“Ini merupakan filem pertama lakonan saya, babak melibatkan saya tidak banyak tapi saya berpeluang ke Korea Selatan dan melawat beberapa tempat antaranya Seoul dan Gwanju yang menjadi lokasi penggambaran di sana.
“Penggambaran mencabar kerana kami berdepan cuaca sejuk mencecah negatif 10. Tambah mencabar apabila penggambaran bermula 8 malam dan berakhir 9 pagi keesokkan harinya. Tapi pengalaman itu menyeronokkan,” katanya lagi.










