KANGAR: Yayasan Kebajikan Perlis (YKPs) yang ditubuhkan sejak 13 tahun lalu terus memainkan peranan dalam membantu masyarakat memerlukan di negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Affendi Rajini Kanth berkata, YKPs sentiasa memberi perhatian sepenuhnya terhadap keperluan masyarakat memerlukan di Perlis.
Katanya, program bantuan itu juga diteruskan bersempena Ramadan dan Aidilfitri termasuk meraikan anak-anak yatim dan asnaf di dalam majlis berbuka puasa di hotel.
“Pada Majlis Berbuka Puasa Setulus Kasih Seikhlas Budi, kita meraikan hampir 80 kanak-kanak selain menyampaikan bantuan dan sumbangan duit raya.
“Kita juga akan menyampaikan bantuan raya selepas ini dan pemberian pek makanan kepada mereka yang memerlukan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Setulus Kasih Seikhlas Budi Bersama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Elissa Hotel di sini semalam.
Baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan pada majlis itu. Hadir sama, Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah.-UTUSAN










