ALOR GAJAH: Seorang lelaki rentung selepas kenderaan pacuan empat roda dinaikinya terbakar selepas dirempuh sebuah lori treler dalam kejadian di Kilometer 193.8 Lebuhraya Utara–Selatan (PLUS) arah selatan, awal pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintendan Muhammad Zaki Ramat berkata, mangsa, Muhamad Othman, 62, dari Batu Pahat, Johor.
Beliau berkata, kenderaan pacuan empat roda terbabit membawa muatan minyak masak, terbakar akibat pelanggaran tersebut.
Menurut beliau, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 2.15 pagi ketika mangsa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Johor berhenti di lorong kecemasan kerana kenderaannya mengalami masalah teknikal.
“Bagaimanapun, sebuah lori treler membawa muatan bahan kimia dari arah sama, dipercayai gagal mengelak lalu melanggar bahagian belakang kereta mangsa.
“Akibat pelanggaran itu, kedua-dua kenderaan terbakar dan mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kerana keseluruhan badannya terbakar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pemandu lori treler berusia 34 tahun cedera di kaki dan dada sebelum dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan lanjut.
Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan hadir ke mana-mana balai berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik BSPTD Alor Gajah, Inspektor Loh Gia Xao di talian 019-5382353. – UTUSAN










