Wajah baharu Lapangan Terbang Kota Bharu pada 16 Mac

Wajah baharu Lapangan Terbang Kota Bharu pada 16 Mac

Warga Kelantan yang ingin pulang beraya sempena Aidilfitri tahun ini bakal menikmati kemudahan lebih selesa apabila kerja pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu (KBR) siap sepenuhnya dengan terminal yang dinaik taraf mula beroperasi pada 16 Mac ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Warga Kelantan yang ingin pulang beraya sempena Aidilfitri tahun ini bakal menikmati kemudahan lebih selesa apabila kerja pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu (KBR) siap sepenuhnya dengan terminal yang dinaik taraf mula beroperasi pada 16 Mac ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pembesaran terminal baharu tersebut meningkatkan kapasiti lapangan terbang berkenaan daripada 1.5 juta kepada empat juta penumpang setahun.

Katanya, peningkatan kapasiti itu mampu menampung pertumbuhan trafik penumpang yang semakin meningkat selepas jumlah pergerakan penumpang mencecah 1.7 juta pada 2025, meningkat 16.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Kemudahan yang ditambah baik merangkumi bangunan terminal yang lebih luas, pengasingan aras pelepasan dan ketibaan bagi melancarkan aliran penumpang.

“Selain itu, susun atur baharu kawasan kerbside turut diperkenalkan dengan penyediaan lorong khusus untuk bas, teksi dan perkhidmatan e-hailing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anthony Loke berkata, penambahbaikan tersebut dijangka meningkatkan pengalaman perjalanan penumpang selain menyokong kelancaran operasi lapangan terbang, khususnya menjelang musim perayaan yang bakal tiba.

Katanya, pada masa sama, peningkatan kemudahan itu turut memperkukuh hubungan udara ke Kelantan di samping menyokong pertumbuhan sektor pelancongan, perniagaan dan pembangunan ekonomi negeri.

“Ketika ini terdapat lima syarikat penerbangan yang beroperasi di KBR merangkumi enam laluan domestik serta satu laluan antarabangsa ke Singapura.

“Majlis pelancaran rasmi bagi terminal yang diperluaskan ini akan diumumkan pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×