Victor Chin perlu jawab perbelanjaan lebih RM300j semasa jadi COO NexG

Victor Chin perlu jawab perbelanjaan lebih RM300j semasa jadi COO NexG

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) NexG Bhd., Victor Chin Boon Long perlu tampil memberikan penjelasan kepada pemegang saham firma itu mengenai perbelanjaan RM303.7 juta semasa beliau berada dalam saf kepimpinan syarikat tersebut.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM Kampus Seremban, Dr. Mazlan Che Soh berkata, dari perspektif tadbir urus baik, adalah wajar untuk mana-mana pihak dalam kepimpinan yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam keputusan tersebut untuk memberikan penjelasan yang jelas dan berfakta.

Katanya, ia selaras dengan prinsip pendedahan maklumat (disclosure) yang menjadi asas kepada keyakinan pasaran.

“Dalam konteks tadbir urus korporat syarikat tersenarai awam, sebarang keputusan perbelanjaan berskala besar seperti yang dilaporkan perlu dilihat melalui prinsip akauntabiliti, ketelusan dan tanggungjawab fidusiari kepada pemegang saham.

“Isu ini bukan semata-mata berkenaan individu tertentu, tetapi lebih luas kepada bagaimana keputusan strategik syarikat dibuat, diluluskan dan dikomunikasikan kepada pemegang kepentingan.

“Penjelasan ini penting khususnya bagi melindungi kepentingan pemegang saham minoriti yang bergantung kepada maklumat awam untuk membuat penilaian terhadap prestasi dan hala tuju syarikat,” katanya hari ini.

Laporan The Edge Malaysia pada 19 Mac lalu berhubung perbelanjaan berjumlah RM303.7 juta oleh NexG Bhd antara November 2024 hingga September 2025 telah mencetuskan persoalan serius mengenai amalan tadbir urus korporat syarikat tersebut.

Perbelanjaan yang dilaporkan melibatkan pemerolehan syarikat keselamatan siber bernilai RM40 juta, pembelian saham dalam MMAG Holdings Bhd serta NexG Bina Bhd berjumlah kira-kira RM164.8 juta, selain pemberian pinjaman sebanyak RM98.9 juta melalui cabang pinjaman syarikat.

MAZLAN CHE SOH

Menurut Mazlan, sebarang keperluan untuk tampil memberi penjelasan juga perlu dilihat dalam kerangka institusi, iaitu melalui saluran rasmi syarikat seperti lembaga pengarah, jawatankuasa audit, dan mekanisme pelaporan kepada pihak berkuasa berkaitan.

Katanya, ini bagi memastikan penjelasan yang diberikan adalah menyeluruh, konsisten dan tidak bersifat spekulatif atau defensif secara individu.

Dalam hal ini, beliau menjelaskan, keutamaan adalah memastikan proses semakan dalaman (internal review), audit dan tadbir urus berfungsi dengan baik.

“Jika terdapat keperluan, pihak berautoriti seperti badan pengawal selia pasaran modal boleh memainkan peranan untuk memastikan semua transaksi dan keputusan pelaburan adalah mematuhi keperluan peraturan serta kepentingan pemegang saham.

“Secara lebih tegas, dalam ekosistem syarikat tersenarai awam, kepercayaan pasaran tidak boleh dibina atas andaian, tetapi mesti disandarkan kepada penjelasan yang telus dan boleh dipertanggungjawabkan,” katanya.

Beliau berkata, dalam keadaan di mana wujud persoalan awam yang signifikan, kejelasan maklumat bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan institusi.

Katanya, kegagalan untuk menjelaskan secara memadai berpotensi menjejaskan keyakinan pemegang saham, khususnya pelabur minoriti, serta mencerminkan kelemahan dalam amalan tadbir urus korporat itu sendiri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN