Victor Chin nafi terlibat ‘mafia korporat’

Victor Chin nafi terlibat ‘mafia korporat’

Gambar Hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli perniagaan, Victor Chin Boon Long menafikan sebarang dakwaan yang mengaitkan dirinya sebagai sebahagian daripada kumpulan ‘mafia korporat’ seperti yang dilaporkan beberapa media kebelakangan ini.

Victor berkata, mafia korporat merupakan satu kumpulan yang benar-benar wujud, namun beliau bukanlah individu yang menjadi dalang di sebalik kegiatan tersebut.

Sebaliknya, Victor berkata, beliau merupakan mangsa kepada mafia korporat tersebut dan berhasrat membersihkan namanya daripada sebarang tuduhan tidak berasas.

“Pada masa yang sama, saya ingin menyatakan dengan jelas bahawa saya bukan sahaja dituduh, malah saya juga merupakan mangsa kepada taktik mafia korporat yang sedang diperkatakan.

“Saya tidak pernah terlibat dengan sebarang kegiatan mafia korporat yang didakwa cuba mengambil alih syarikat-syarikat di Malaysia.

“Saya juga tidak pernah mengarahkan atau merancang sebarang kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Victor berkata, sekiranya beliau berminat untuk memperoleh sesebuah syarikat, sebarang urusan pemerolehan akan dilakukan melalui saluran yang sah dan telus mengikut undang-undang.

“Saya tidak pernah terlibat dalam apa-apa bentuk taktik oleh mafia korporat yang didakwa wujud dalam landskap korporat di Malaysia,” katanya.

Bagi menafikan penglibatannya, Victor berkata, beliau mengalu-alukan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu mafia korporat secara menyeluruh.

Menurutnya, siasatan tersebut perlu dijalankan secara terbuka, bebas dan tidak berat sebelah supaya kebenaran dapat dibuktikan.

“Saya yakin proses tersebut akan menunjukkan secara jelas bahawa tuduhan yang dilemparkan terhadap saya adalah tidak berasas dan saya akan dapat membersihkan nama saya sepenuhnya,” katanya.

Victor berkata, label ‘mafia korporat’ yang dikaitkan dengannya banyak berpunca daripada hubungan perniagaan atau pegangan saham terdahulu dengan individu atau syarikat yang kemudiannya terlibat dalam siasatan pihak berkuasa.

“Bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dan demi ketelusan, saya akan melantik seorang peguam di Kuala Lumpur dalam masa terdekat.

“Semua bukti dan dokumen sokongan yang menunjukkan saya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti mafia korporat akan diserahkan kepada peguam tersebut.

“Dokumen berkenaan kemudiannya akan disediakan kepada mana-mana agensi penguat kuasa serta pihak yang ingin mengetahui fakta sebenar selepas membuat pendaftaran dengan pejabat peguam berkenaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN