V Gallant lancar ruang kerja GPU pertama di Malaysia - Utusan Malaysia

V Gallant lancar ruang kerja GPU pertama di Malaysia

KETUA Pegawai Operasi v Gallant, Dr. Chan Wai Mun dan Pengarah Urusan Khalifa Intelligence, Toh Puan Seri Wan Hidayah Wan Ismail bertukar memorandum perjanjian persefahaman pada Majlis Perasmian V Gallant, di KL Eco City, di sini hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  V Gallant Sdn. Bhd. (V Gallant), anak syarikat VCI Global Limited melancarkan V Gallant GPU Lounge, ruang kerja kolaboratif dikuasakan unit pemprosesan grafik (GPU) pertama di Malaysia.

Inisiatif tersebut bertujuan memperluas akses kepada pembangunan kecerdasan buatan (AI) secara praktikal untuk pembangun dan perniagaan, selain menyaksikan pengumuman ujian beta bagi platform kecerdasan Intelli-X.

Ketua Pegawai Operasi V Gallant, Dr. Chan Wai Mun berkata, pelancaran itu menandakan pencapaian penting dalam memacu penggunaan AI yang praktikal, boleh dipercayai dan berteraskan keperluan sebenar industri di negara ini.

“Fokus kami bukan sekadar membuka akses kepada teknologi, tetapi turut bekerjasama rapat dengan organisasi sebagai rakan perunding bagi mengurangkan beban kerja manual harian melalui pengautomasian agentik.

“Ia bertujuan membolehkan tenaga kerja memberi tumpuan penuh kepada usaha memacu pertumbuhan syarikat,” katanya sempena majlis pelancaran tersebut di sini, semalam. 

V Gallant GPU Lounge dilengkapi dengan GPU berprestasi tinggi termasuk NVIDIA Blackwell yang direka khusus untuk penyelidik, perusahaan dan komuniti teknologi bagi menyokong pembelajaran serta eksperimen AI.

Selain itu, platform Intelli-X yang diperkenalkan berfungsi sebagai pembantu analitik AI ZeroTrace yang membantu organisasi menukar data perniagaan kepada cerapan berguna melalui penjanaan laporan automatik dan automasi aliran kerja.

Sempena pelancaran itu juga, V Gallant turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama strategik bersama tiga rakan kongsi iaitu Khalifa Intelligence bagi perluasan akses pasaran, UCSI College untuk pembangunan bakat serta Favoriot bagi pengintegrasian teknologi.

Antara yang hadir pada majlis pemeteraian tersebut ialah Pengarah Urusan Khalifa Intelligence, Toh Puan Seri Wan Hidayah Wan Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif UCSI College, Dr. Chong Aik Lee dan Ketua Pegawai Eksekutif Favoriot, Dr. Mazlan Abbas.

Sebagai promosi pengenalan, V Gallant menawarkan diskaun sehingga 20 peratus untuk tempoh terhad bagi tempahan GPU Lounge bagi membolehkan lebih ramai pembangun meneroka penggunaan AI secara praktikal. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN