KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Uyaina Arshad mendedahkan dia hampir menamakan anak ketiganya dengan nama Aurelius iaitu gelaran yang membawa maksud emas dalam bahasa latin, namun membatalkan hasrat tersebut kerana bimbang anak itu bakal menjadi mangsa ejekan di sekolah kelak.
Uyaina atau Saidatul Naseha Uyaina Arshad, 33, berkata, dia pada mulanya mempunyai dua pilihan nama sebelum akhirnya memilih nama Raja Uzayn buat putera ketiganya itu.
“Sebenarnya sebelum Uzayn, saya ada satu lagi pilihan nama iaitu Raja Aurelius. Aurelius itu merujuk kepada tokoh Roman, Marcus Aurelius dan maksudnya adalah emas.
“Tetapi bila fikir balik, nama itu bukan nama tipikal dalam masyarakat majmuk kita. Saya jadi risau kalau nanti dia kena ejek dengan kawan-kawan di sekolah. Jadi, kami sepakat pilih nama Uzayn yang lebih mudah disebut dan mempunyai maksud yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media ditemui pada tayangan perdana drama vertikal My Ramadan Love Story yang disiarkan menerusi platform penstriman P-Circle di Courtyard by Marriott Kuala Lumpur South, baru-baru ini.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai penjagaan bayi dalam fasa awal, pemenang Puteri Muslimah Asia 2018 ini mengambil pendekatan yang sangat tegas terutama melibatkan aspek kebersihan dan kesihatan anaknya.
Jelas Uyaina, dia tidak akan berkompromi dan secara terbuka melarang sesiapa sahaja daripada mencium bayinya bagi mengelakkan risiko jangkitan penyakit.
“Saya sangat jujur. Sebelum orang dekat, saya akan cakap terus-terang, jangan cium ya. Kalau setakat nak pegang itu saya masih okey, tapi cium memang tidak boleh.
“Saya tahu mungkin ada yang akan anggap saya sebagai ibu yang terlalu mengawal, tetapi saya tak kisah. Bagi saya, yang penting anak saya sihat. Kita sedia maklum tindakan mencium bayi yang baru lahir boleh menyebabkan pelbagai jangkitan kuman.
“Kalau bukan ibu dan ayah yang lindungi anak itu, siapa lagi? Jadi biarlah apa orang nak kata, saya tetap dengan pendirian itu,” tegasnya.
Bercerita mengenai pengalamannya memiliki tiga cahaya mata lelaki, Uyaina bersyukur kerana proses pemulihannya selepas menjalani pembedahan kali ketiga berjalan lancar.
Malah, dia juga gembira kerana kali ini berpeluang memberikan penyusuan susu ibu sepenuhnya kepada Raja Uzayn.
“Wajah Uzayn kali ini memang tiru abang nombor duanya. Alhamdulillah, kesihatannya baik dan buat masa ini saya mahu fokus kepada pemulihan diri sepenuhnya sebelum kembali aktif bekerja dalam tempoh beberapa bulan lagi,” ujarnya.
Uyaina mendirikan rumah tangga dengan penyanyi, Raja Syahiran pada 21 Disember 2021 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga cahaya mata lelaki iaitu Raja Urhan, Raja Urayyan dan Raja Uzayn. -UTUSAN










