UUM pantau bas pelajar ke Kelantan

UUM pantau bas pelajar ke Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Perkhidmatan bas­ sewa khas membawa pelajar­ Kelantan yang menuntut di Uni­versiti Utara Malaysia (UUM) pulang ke kampung setiap musim perayaan dilaksanakan di bawah pemantauan ketat pentadbiran institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu.

Presiden Kelab Patriot Chapter Kelantan Universiti Utara Malaysia (Cakna UUM), Muhammad Danish Ikhwan Mokhtar berkata, setiap pergerakan bas di bawah kendalian mereka perlu mendapat kelulusan pihak universiti terlebih dahulu.

Katanya, bukan itu sahaja, Cakna UUM perlu mendapatkan permit rasmi daripada pentadbiran UUM sebelum dibenarkan beroperasi.

“Pihak universiti juga memerlukan dokumen penting se­perti permit Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), lesen bas, lesen pemandu serta insurans daripada syarikat bas yang terlibat.

“Pihak Cakna UUM turut mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan keselamatan penumpang sepanjang perjalanan dengan membenarkan setiap pelajar hanya dibenarkan membawa satu beg bagasi besar dan dua beg kecil,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Langkah itu mengelakkan lebihan muatan yang meningkatkan risiko kemalangan.

Katanya, nombor kad pe­ngenalan serta nombor telefon ahli keluarga pelajar turut diabil sebagai langkah keselamatan sekiranya berlaku kecemasan sepanjang perjalanan.

“Selepas insiden kemalangan melibatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebelum ini, UUM turut memperketat syarat permohonan permit perjalanan.

“Sekarang kami perlu mengemukakan jadual pergerakan bas secara terperinci dan dokumen sokongan lain sebelum permit diluluskan,” katanya.

Muhammad Danish berkata, pihaknya turut menanggung kos tambahan apabila UUM mewajibkan pemandu menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Perbelanjaan itu ditanggung sendiri bagi memastikan pemandu layak sahaja bertugas,” katanya.

Muhammad Danish memberitahu, perkhidmatan itu dianjurkan setiap kali cuti Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha bagi memudahkan pelajar pulang ke kampung dengan teratur dan selamat. Aidilfitri ini hanya lima buah bas disediakan membawa pelajar pulang semula ke UUM. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN