Usaha menyatukan bangsa, umat wajar dihargai - Zambry

Usaha menyatukan bangsa, umat wajar dihargai – Zambry

ZAMBRY Abdul Kadir
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pandangan politik yang bersifat negatif atau menghina, tidak sepatutnya dilontarkan terutamanya dalam bulan Ramadan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menegaskan, setiap usaha untuk menyatukan bangsa dan umat wajar dihargai terutama melalui cadangan Rumah Bangsa.

“Usaha untuk menyatukan umat, bangsa, orang Melayu orang Islam sejak dulu disebut-sebut. Apabila Presiden UMNO (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) menyebut tentang Rumah Bangsa, itu tempat untuk musyawarah melibatkan pelbagai parti dan isu-isu yang menyentuh tentang Islam dan Melayu, kita bawa semua, kita berbincang bersama,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Forum Ilmuwan Malaysia Madani di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di sini hari ini.

Zambry mengulas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang tidak bersedia menyertai gagasan Rumah Bangsa ditawarkan UMNO kerana menyifatkannya sebagai struktur politik yang tidak selamat.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, apabila terdapat usaha sebegini, ia sepatutnya dialu-alukan dan bukannya dilempar dengan sebarang cacian.

“Bukan soal ada yang mengatakan UMNO kononnya nak mula jadi ‘abang besar’, saya tahu itu semua hujah-hujah politik yang disampaikan mereka. Sama ada berlakunya kerisauan di pihak mereka tentang usaha-usaha UMNO atau sebaliknya dengan melemparkan makian atau cacian ke atas usaha-usaha yang baik ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN