UMNO yakin rampas Parlimen Bagan Serai PRU16 - Utusan Malaysia

UMNO yakin rampas Parlimen Bagan Serai PRU16

SHAM Mat Sahat (tengah) menyampaikan bubur lambuk kepada penduduk pada Program Perumahan Masyarakat Setempat (PPMS) di Batu 6 Bukit Merah di Bagan Serai hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: UMNO giat menyusun strategi di peringkat negeri bagi menawan semula Perak pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dengan beberapa kerusi termasuk Parlimen Bagan Serai dikenal pasti sebagai medan penting untuk dirampas kembali.

Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai, Datuk Sham Mat Sahat berkata, gerak kerja parti ketika ini bukan sahaja tertumpu di peringkat negeri malah selari dengan strategi nasional Barisan Nasional (BN) untuk mengembalikan kekuatan parti di kawasan majoriti Melayu.

Menurut beliau, di peringkat bahagian, UMNO Bagan Serai telah mula menyusun langkah dan memperkukuh jentera bagi merampas semula kerusi yang tewas pada pilihan raya lalu.

“Parlimen Bagan Serai menjadi fokus utama parti untuk dirampas semula melalui pendekatan turun padang dan mendekati rakyat secara langsung.

“Usaha tersebut bukan sekadar retorik politik, sebaliknya melibatkan kerja lapangan yang berterusan bagi memastikan rakyat melihat komitmen sebenar UMNO dalam menyelesaikan masalah mereka,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Program Ihya Ramadan Infak Rasa Bubur Lambuk Anjuran Kolej Komuniti Bagan Serai di Bukit Merah di sini hari ini.

Pada PRU15, Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad menang kerusi Parlimen Baga Serai dengan majoriti 18,551 undi dalam pertandingan lima penjuru.

Mengenai kenyataan Idris sebelum ini yang yakin Perikatan Nasional (PN) mampu menawan negeri Perak, Sham berkata, sesiapa sahaja bebas menyuarakan pandangan dan keyakinan mereka namun itu tidak menjamin kemenangan.

“Bercakap sesiapa pun boleh. Kita juga pernah menyatakan keyakinan untuk menawan Perak sebelum ini, tetapi akhirnya keputusan sebenar tetap berada di tangan rakyat,” katanya.

Menurutnya, UMNO tidak bergantung kepada kelemahan parti lawan untuk meraih sokongan sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh parti dan mendekati pengundi.

Katanya, ketua-ketua bahagian UMNO di Perak sedang menggerakkan jentera masing-masing sebagai persediaan awal menghadapi PRU16.

“Persaingan sebenar di Perak adalah di kawasan majoriti Melayu yang menjadi medan pertembungan antara UMNO dan Pas manakala kerusi bandar sukar ditembusi parti Melayu,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN