BAGAN SERAI: UMNO lebih layak untuk kembali bertanding di Parlimen Bagan Serai pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) berbanding rakan gabungan yang lain dalam Kerajaan Perpaduan, susulan pencapaian parti itu yang meraih undi kedua tertinggi dalam PRU15.
Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai, Datuk Sham Mat Sahat berkata, pencapaian tersebut menjadi asas kukuh bagi parti itu untuk mempertahankan hak bertanding di kerusi berkenaan sekiranya rundingan pembahagian kerusi diadakan antara BN dan Pakatan Harapan (PH).
Menurut beliau, walaupun keputusan muktamad pembahagian kerusi akan ditentukan oleh kepimpinan tertinggi parti di peringkat negeri dan pusat, UMNO Bahagian Bagan Serai tetap berpendirian bahawa kerusi tersebut sewajarnya kekal ditandingi BN.
“Dalam PRU15, walaupun kita tewas, BN berada di kedudukan kedua. Berdasarkan kedudukan itu, secara logiknya kerusi Parlimen Bagan Serai seharusnya ditandingi oleh BN pada pilihan raya akan datang,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada penyampaian sumbangan raya kepada 750 penerima dalam Program Meriah Raya di Dewan Datuk Zainal Abidin Zin di sini hari ini.
Pada PRU15, calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Idris Ahmad menang Parlimen Bagan Serai dengan majoriti 18,551 undi setelah mendapat 34,835 undi.
Naib Presiden Pas itu mengalahkan calon BN, Zul Helmi Ghazali (16,284 undi), calon PH, Siti Aishah Shaik Ismail (12,723 undi) dan calon Pejuang, Ahmad Luqman Ahmad Yahaya (1,300 undi).
Menurut Sham, UMNO Bagan Serai kini sedang memperkemaskan jentera parti termasuk menilai semula faktor kekalahan lalu bagi memastikan sokongan pengundi dapat dikembalikan kepada BN.
Katanya, langkah tersebut termasuk turun ke peringkat akar umbi dengan mendekati pengundi di kampung-kampung serta cawangan parti bagi memahami isu dan keperluan masyarakat setempat.
“Selain menyusun strategi, kita juga mengkaji semula punca kekalahan sebelum ini. Kita turun ke kampung dan bertemu pengundi untuk mengetahui masalah sebenar mereka supaya pendekatan parti lebih tepat dan berkesan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa UMNO Bahagian Bagan Serai tidak bersetuju dengan cadangan meletakkan calon luar untuk bertanding di kawasan tersebut.
“Sentimen pengundi tempatan di kawasan ini jelas menunjukkan kecenderungan untuk memilih calon tempatan yang lebih memahami realiti masyarakat setempat,” katanya. – UTUSAN









