UDA peruntuk lebih RM2 juta perkasa usahawan

UDA peruntuk lebih RM2 juta perkasa usahawan

MOHD. Nazri Jamiran (tiga dari kiri) dan Pemangku Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Azrudyn Rashid (lima dari kanan) bersama Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud (enam dari kanan) mengadakan lawatan tapak ke reruai usahawan di Hub Usahawan UDA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UDA Holdings Berhad (UDA) memperuntukkan lebih RM2 juta bagi 2026 untuk menyokong pemerkasaan peniaga tempatan yang dijangka memanfaatkan seramai 625 usahawan.

Naib Presiden Kanan, Bahagian Pelaburan dan Pengurusan Harta UDA, Mohd. Nazri Jamiran berkata, inisiatif itu melalui pelaksanaan program berimpak tinggi selari dengan strategi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) di bawah Teras D iaitu Perluasan Akses Pasaran dan Adaptasi Teknologi.

“Pendekatan ini dirangka secara holistik dengan lebih berstruktur dan berfasa bagi memastikan usahawan mendapat akses pasaran yang lebih luas serta laluan perkembangan perniagaan yang mampan.

“Pada masa sama, pelaksanaan inisiatif ini selaras dengan aspirasi KUSKOP untuk memperkukuh ekosistem keusahawanan dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara keusahawanan unggul.

“Pemerkasaan usahawan ini akan dilaksanakan menerusi beberapa program utama, termasuk Program Insentif Usahawan UDA (PIUU), UDA One Stop Retail Centre (MARI Mart), UDA Craft Comer (KIRANA) dan penyediaan ruang niaga di bawah Malaysia Entrepreneur Hub (MEH),” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, tahun ini, penekanan akan diberikan kepada peluasan akses pasaran, pengukuhan rantaian bekalan serta pemantauan prestasi berasaskan data.

“Ini supaya setiap intervensi yang dilaksanakan benar-benar memberi impak kepada kelangsungan dan pertumbuhan perniagaan usahawan.

“Inisiatif utama yang akan dilaksanakan ialah PIUU yang menyasarkan 500 usahawan bersasar melalui pemberian insentif sewaan lot kedai dan tapak sementara di premis-premis UDA bagi menyokong kemasukan serta memastikan kesinambungan operasi perniagaan.

“UDA turut memperkukuh pelaksanaan MEH yang menyediakan ruang niaga di lokasi strategik dan kawasan bandar seperti Hab Keusahawanan Morten Walk, Kuala Lumpur Heritage Valley dan Santai Camp di Angsana Johor Bahru Mall (AJBM) dengan sasaran penyertaan seramai 25 usahawan.

“Inisiatif ini berperanan sebagai platform peralihan sebelum usahawan berpotensi dipertimbangkan untuk penyewaan premis secara tetap di kompleks beli-belah UDA,” jelasnya.

Selain itu, platform MARI Mart akan terus diperkasa sebagai saluran pemasaran produk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan dengan sasaran kemasukan 75 vendor baharu.

“Inisiatif ini memberi fokus kepada fasilitasi vendor, penambahbaikan asas produk serta. pengukuhan penjenamaan bagi meningkatkan daya saing produk di pasaran.

“KIRANA yang berteraskan konsep Satu Daerah Satu Industri (SDSI) pula akan menyediakan ruang pameran dan saluran pemasaran strategik kepada 25 usahawan kraf tangan tempatan, sekali gus memperluas akses pasaran bagi produk tempatan yang berpotensi tinggi,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×