PASIR MAS: Taktik licik empat lelaki mengubah suai tangki kenderaan untuk menyeludup petrol dan diesel ke Thailand terbongkar selepas ditahan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan semalam.
Tangkapan dan rampasan bahan bakar bernilai RM125,400 itu dilakukan menerusi Op 555 di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, dekat sini.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, tangki minyak melibatkan tiga buah lori dan sebuah kereta Proton Wira diubah suai bagi tujuan penyeludupan.
Pemeriksaan ke dalam tangki menjumpai 605 liter kedua-dua bahan bakar itu.
“Pengubahsuaian dipercayai dilakukan bagi menambah kapasiti simpanan bahan api, membolehkan petrol dan diesel disimpan dalam kuantiti besar sebelum diseleweng,” katanya.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974. – UTUSAN










