TKM Pulau Pinang ke SPRM bantu siasatan salah guna dana zakat

TKM Pulau Pinang ke SPRM bantu siasatan salah guna dana zakat

KELIBAT seorang individu dipercayai Mohamad Abdul Hamid dilihat memasuki pejabat SPRM Pulau Pinang hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna dana zakat yang mengaitkan nama beliau, baru-baru ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid hari ini hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini dipercayai bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna dana zakat yang mengaitkan nama beliau.

Mohamad yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) tiba kira-kira pukul 9.48 pagi di pekarangan pejabat SPRM Pulau Pinang di sini dengan menaiki sebuah kenderaan jenis Proton X70. Selain beliau, turut kelihatan memasuki bangunan itu ialah seorang individu lain dipercayai pembantunya.

Terdahulu, media melaporkan, SPRM sedang menyiasat kemungkinan berlakunya salah guna kuasa oleh seorang pegawai kanan kerajaan negeri Pulau Pinang berhubung dakwaan pembelian tanah menggunakan dana zakat.

Siasatan itu dimulakan selepas seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang membangkitkan isu berkenaan pada persidangan Dewan Undangan Negeri, penghujung tahun lalu.

Sepanjang siasatan dijalankan oleh SPRM, kedua-dua agensi yang terlibat iaitu MAINPP dan Zakat MAINPP juga dikatakan telah memberikan kerjasama penuh.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk S. Karunanithy mengesahkan bahawa Mohamad hadir ke pejabat SPRM negeri hari ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN