GEORGE TOWN : Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid meninggalkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira pukul 3.50 petang tadi selepas memberi keterangan selama hampir tujuh jam.
Mohamad yang juga merupakan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dilihat keluar dari pekarangan pejabat itu dengan menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire.
Difahamkan, beliau cuba keluar melalui pintu belakang bangunan tersebut, namun, berjaya ‘dihidu’ oleh sekumpulan petugas media. Bagaimanapun, cubaan untuk mendapatkan komen daripada pemimpin nombor dua Pulau Pinang itu berhubung siasatan tersebut gagal selepas beliau enggan memberikan sebarang ulasan.
Semalam, Mohamad dipanggil memberi keterangan buat kali pertama di pejabat SPRM Pulau Pinang dan menghabiskan masa selama hampir enam jam sebelum dilihat keluar meninggalkan pekarangan bangunan terbabit.
Media sebelum ini melaporkan, SPRM telah memulakan siasatan berhubung kemungkinan berlakunya salah guna kuasa oleh seorang pegawai kanan kerajaan negeri Pulau Pinang berhubung pembelian tanah dengan menggunakan dana zakat.
Siasatan itu dimulakan selepas seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang membangkitkan isu berkenaan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) penghujung tahun lalu.-UTUSAN










