Tidak puas hati punca Cikgu Chandra diserang

Tidak puas hati punca Cikgu Chandra diserang

S. CHANDRASEGARAN bersama kenderaan yang terbakar di kediamannya di Puchong.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM:  Insiden serangan terhadap Cikgu Chandra atau nama sebenarnya S. Chandrasegaran dipercayai berpunca rasa tidak puas hati dan terguris dengan tindakan aktivis sosial itu yang menyentuh sensitiviti masyarakat India.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, hasil siasatan itu ekoran penahanan 12 suspek berusia 30 hingga 40 tahun termasuk seorang wanita yang disyaki terlibat dalam kejadian khianat terhadap Cikgu Chandra dalam pelbagai siri serbuan sejak 12 Mac lalu.

Katanya, semua ditahan menerusi operasi bersepadu Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di sekitar Banting, Subang dan Serdang.

“Daripada jumlah tersebut, tujuh suspek dikenal pasti mempunyai kaitan langsung dengan kejadian dan masih direman bagi membantu siasatan. 

“Siasatan awal mendapati insiden itu dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati selain perasaan terguris terhadap mangsa,” katanya pada sidang akhbar semalam.

Pada 10 Mac lalu, rumah Chandrasegaran, 47, di Taman Kinrara, Puchong dilaporkan diserang sekumpulan lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang.

Dalam kejadian berasingan, sekumpulan individu dipercayai datang semula ke rumah lelaki itu kira-kira pukul 3.20 pagi pada 11 Mac sebelum mencampakkan objek dipercayai bom petrol.

Tambah Shazeli, polis turut menahan individu yang dipercayai sebagai dalang utama kejadian manakala wanita yang ditahan merupakan isteri kepada salah seorang suspek.

“Semakan lampau mendapati lima daripada tujuh suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau namun kesemua mereka didapati negatif dadah.

“Lima suspek termasuk wanita berkenaan telah dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan diteruskan di bawah Seksyen 427, Seksyen 506 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, hasil tangkapan tersebut turut membawa kepada rampasan tiga buah kereta selain dua motosikal yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

“Polis kini sedang mengesan tiga lagi suspek lelaki berusia antara 30 hingga 40 tahun yang masih bebas bagi melengkapkan siasatan. Kami percaya kedua-dua kejadian ini berjaya diselesaikan hasil tangkapan yang dibuat setakat ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN