Tiada perang sesama Islam - Utusan Malaysia

Tiada perang sesama Islam

ANWAR Ibrahim melihat Mushaf Malaysia Madani pada Majlis Pelancaran Mushaf Malaysia Madani di Kompleks Darul Nasyrul Quran, Putrajaya semalam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ketegangan di Asia Barat yang kini memasuki minggu ketiga tidak akan membawa kepada konflik perang atau pertempuran sesama negara Islam.

Itu jaminan diberikan oleh Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika kedua-dua pemimpin mengadakan perbincangan pusingan kedua berkaitan perkembangan krisis itu.

Malaysia turut menyuarakan impak peperangan terhadap dunia Islam khususnya di rantau Asia Barat, meskipun pihak yang terlibat secara langsung ialah Israel dan sekutunya, Amerika Syarikat (AS).

Anwar berkata, Malaysia turut mengadakan perbincangan dengan beberapa pemimpin Islam termasuklah Oman, Arab Saudi, Qatar, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Turkiye.

“Kita menyuarakan kebimbangan kerana walaupun pelaku utama ialah Israel dan pihak yang menyokongnya, kesannya dirasai di seluruh dunia Islam,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Mushaf Malaysia Madani di Kompleks Nashrul alQuran di sini, semalam.

Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menganggarkan kira-kira 3.2 juta orang berkemungkinan dipindahkan sementara dalam Iran berikutan konflik yang semakin memuncak.

Penilaian awal menunjukkan antara 600,000 hingga satu juta isi rumah Iran terpaksa meninggalkan kediaman mereka akibat permusuhan yang berterusan.

Krisis itu juga memberi kesan kepada pelarian yang menetap di Iran terutama rakyat Afghanistan.

Perdana Menteri berkata, Malaysia mengecam serangan terhadap Iran dan merakamkan ucapan takziah atas pemergian Ayatollah Ali Khamenei dan ahli keluarganya yang terkorban dalam serangan pakatan AS-Israel.

Anwar berkata, Malaysia akan terus memainkan peranan melalui hubungan persahabatan dengan negara-negara Islam terlibat bagi meredakan ketegangan di rantau berkenaan.

Katanya, perbincangan berulang dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan turut berlangsung bagi mencari jalan terbaik memastikan krisis dapat ditangani secara aman.

“Situasi yang berlaku ketika ini amat sukar dan kompleks. Saya dapat memahami apabila sesebuah negara berhadapan dengan keangkuhan dan agenda neo-imperialisme sebegini, bukan mudah untuk meminta mereka menahan diri.

“Namun, saya percaya menjadi tanggungjawab kita, berdasarkan hubungan erat dan persahabatan kita bukan sahaja dengan Iran tetapi juga dengan negara-negara Islam serta melalui perbincangan berulang dengan Erdogan untuk terus berdoa agar krisis ini dapat diselesaikan,” katanya.

Anwar turut mengingatkan, dunia tidak boleh melupakan penderitaan rakyat Palestin di Gaza yang terus berdepan konflik berpanjangan, khususnya ketika umat Islam sedang melalui Ramadan.

Katanya, perpaduan dan kerjasama antara negara Islam amat penting bagi memastikan keamanan serta kesejahteraan terus dipelihara.

Dalam pada itu, mengenai Mushaf Malaysia Madani, ia adalah sebahagian program tadabbur al-Quran di peringkat kebangsaan iaitu antara mushaf al-Quran hibrid terawal di Malaysia yang menggabungkan keindahan seni khat dan seni Islam tempatan dengan inovasi digital.

Pendekatan itu membolehkan masyarakat menghayati al-Quran secara lebih interaktif selaras dengan perkembangan teknologi semasa.

Menurut Yayasan Restu, proses penyalinan mushaf mengambil masa hampir lima tahun dan dikendalikan oleh penulis khat berpengalaman, Ustaz Abdul Baki Abu Bakar yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun termasuk terlibat dalam penyalinan Mushaf Malaysia pada 1995. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×